NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Azmin yakin PN akan pertahan Parlimen Gombak


Peyandang kerusi Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali yakin Perikatan Nasional (PN) mampu mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga menteri kanan perdagangan antarabangsa dan industri berkata pengundi di Parlimen itu pastinya akan membuat keputusan bijak memilih calon yang layak dan berupaya membawa suara rakyat.

Katanya, penglibatan pengundi baru khususnya dalam kalangan anak-anak muda yang menerima pelbagai manfaat besar daripada kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin diyakini akan mendorong kejayaan PN.

-"Kita cuba sedaya upaya untuk cipta pekerjaan bagi mereka (golongan muda) dan saya yakin dengan penglibatan pengundi-pengundi ini, Insya Allah Gombak akan kekal kerusi PN," katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Miti 2022 di Taman Melawati yang terletak dalam kawasan Parlimen Gombak di Selangor.

Pada PRU14, Azmin memenangi kerusi Parlimen Gombak mewakili PKR dengan meraih 75,113 undi, menewaskan calon dari Umno yang memperoleh 26,392 undi, manakala PAS sebanyak 17,537 undi.

Pada 2018, Gombak mempunyai sebanyak 141,112 pengundi berdaftar dengan 85.4% atau 120,548 pengundi keluar mengundi.

Dari aspek demografi, 75.8% daripada pengundi berdaftar terdiri daripada Melayu, manakala India merekodkan 10.77% dan Cina 10.67%.

Menjelang PRU15, Gombak disifatkan sebagai antara kerusi "panas" apabila Presiden PKR Anwar Ibrahim memberi bayangan untuk bertanding di kerusi yang dimenangi bekas ahli partinya termasuk Gombak.

Bagaimanapun, "usikan" itu dialu-alukan Azmin yang turut menjemput isteri dan anak Anwar untuk bertanding di Gombak.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding di Gombak, Azmin yang juga bekas menteri besar Selangor berkata, terpulang kepada kebijaksanaan presiden Bersatu.

Tambah Azmin, beliau turut yakin rekod perkhidmatannya sebagai wakil rakyat di Parlimen itu juga akan dicerminkan pengundi menjelang PRU15.

"Saya serahkan kepada rakyat Gombak, tetapi saya yakin mereka mengenali saya sekian lama.

"Mereka melihat bagaimana apabila saya diberi tanggungjawab besar," kata Azmin yang juga berasal dari Hulu Klang, Selangor.

Mengulas mengenai persaingan yang dijangka di Gombak, Azmin berkata, PN bersedia menghadapi segala kemungkinan.

"Ini proses demokrasi, mana-mana parti boleh sertai pilihan raya.

"Akhirnya yang menentukan kemenangan adalah rakyat. 

“Kuasa di tangan mereka," kata Azmin yang turut menyeru pengundi membuat keputusan tepat bagi masa depan mereka dan generasi akan datang.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo