GOMBAK: Langkah Sheraton yang digerakkan pada penghujung Februari 2020 menyaksikan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Ketujuh dan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.
Krisis politik itu yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas hanya 22 bulan mentadbir negara turut dirancang beberapa Ahli Parlimen PKR yang diketuai Timbalan Presidennya ketika itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu bersama kumpulannya kemudian bergabung dengan BERSATU, Barisan Nasional (BN) dan PAS, mengambil alih pentadbiran negara melalui pembentukan kerajaan ditunjangi parti dalam Perikatan Nasional (PN).
Malam tadi, Mohamed Azmin yang juga Ketua Penerangan PN merangkap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU mendedahkan mengapa beliau tidak lagi dapat mempertahankan PH ketika masuk 22 bulan gabungan itu mentadbir negara.
Pengarah Pilihan Raya PN itu berkata, walaupun beliau sebahagian PH ketika itu, namun tetap mengemukakan bantahan bertulis kepada Dr Mahathir kerana banyak tindakan dilakukan PH didakwanya mengkhianati mandat rakyat dalam membentuk kerajaan adil untuk semua.
"Saya tidak dapat berterusan membisu atau menikus seperti kebanyakan pemimpin tinggi PH lain, lalu bertindak mengemukakan bantahan bertulis mengenai perkara tidak betul yang dilakukan pakatan sebaik mengambil alih kerajaan pada 2018," dakwanya.
Antaranya, dakwa Mohamed Azmin, pemotongan peruntukan RM400 juta untuk Unit Peneraju Agenda Bumiputera (PENERAJU) yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) tanpa sebarang penjelasan diberikan Menteri Kewangan ketika itu.
"Hal sama terjadi kepada beberapa agensi lain yang diberikan mandat membela dan menjaga kepentingan Melayu dan Bumiputera, tidak diberi pertimbangan adil dan saksama dalam belanjawan dibentangkan dalam tempoh pentadbiran PH," katanya.
Mendedahkan demikian pada Majlis Pelancaran Jentera PN Gombak di Taman Pinggiran Batu Caves, penyandang kerusi Parlimen Gombak itu, berkata surat dikemukakannya bagaimanapun tidak diendahkan.
"Malah dalam pembentangan Bajet 2020, TERAJU hanya diberi RM100 juta dan ini jelas satu penghinaan terhadap agensi yang diberikan mandat besar, yang sepatutnya memperoleh RM400 juta untuk 2020 boleh membantu 200 syarikat Bumiputera dan beri manfaat kepada 10,000 anak tempatan," katanya.
Katanya, perkara sama berlaku kepada FELDA membabitkan 1,000 kilometer (km) jalan di kawasan tanah rancangan itu yang rosak dan perlu dinaiktaraf.
"Saya menulis surat kepada Tun Dr Mahathir mengatakan peruntukan terlalu kecil, saya minta RM30 juta untuk naik taraf 1,000km, namun akhirnya, hanya dapat peruntukan untuk satu pertiga atau 300km.
"Begitu juga EKUINAS (Ekuiti Nasional Berhad), agensi kerajaan yang berperanan menyuntik modal pasaran syarikat Bumiputera untuk ambil alih syarikat 'mid tier' (tingkat pertengahan)," katanya.
Beliau juga mendakwa, dana pusingan yang ada dalam EKUINAS hendak diambil Kementerian Kewangan dan meminta EKUINAS ditutup, menyebabkannya bergegas ke Pejabat Perdana Menteri berjumpa Dr Mahathir dan pengerusi EKUINAS ketika itu.
Katanya, beliau membantah penutupan agensi itu yang akan menyebabkan golongan Bumiputera Melayu dengan syarikat tingkat pertengahan tidak akan mendapat pembelaan.
"Alhamdulillah Tun bersetuju dengan pandangan saya dan tidak menutup EKUINAS, sekali gus menyelamatkan RM2.4 bilion modal pusingan yang diperuntukkan kepada agensi itu," katanya.
Mohamed Azmin juga mengulas ringkas kenyataan bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua yang mendakwa, keputusan parti diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim itu merombak calon untuk bertukar tempat, bukan saja merugikan akar umbi parti, tapi juga mengecewakan pengundi setia.
"Berdasarkan apa yang saya baca beberapa ulasan, dalaman parti itu (PKR) mempunyai keretakan amat serius. Namun itu bukan pertimbangan saya, fokus saya adalah memastikan PN terus maju ke hadapan.
"Alhamdulilah sambutan semakin baik apabila kita menerangkan dasar yang sudah dan akan dilaksanakan," katanya.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment