Seremban: Ceti haram dari Singapura bukan saja meninggalkan nota amaran malah dipercayai membaling bom petrol ke arah kediaman di Taman Bukit Kaya, di sini, sehingga memusnahkan tiga kenderaan serta pelbagai barangan.
Kejadian jam 3.30 pagi Jumaat lalu itu dipercayai berlaku selepas abang kepada pemilik kediaman berkenaan yang menetap di Singapura membuat pinjaman ahlong.
Mangsa, Wong Kai Hong, 37, berkata, ketika kejadian terdapat dua warga emas iaitu ibu dan ibu mentuanya di rumah selain anaknya yang baru tujuh bulan.
"Ketika kejadian kami sekeluarga sedang tidur jam 3.30 pagi. Saya yang tidur di bilik tingkat atas berhampiran garaj kereta terdengar kaca pecah dan percikan api sebelum bergegas turun bagi melihat keadaan.
"Bagaimanapun, api sudah merebak dengan cepat dipercayai akibat petrol. Malah asap tebal dan berbahang masuk ke dalam rumah menyebabkan kami semua keluar untuk menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui.
Wong berkata, ketika pihak bomba menjalankan kerja pemadaman api, anggota jabatan itu menemui satu kertas yang ditampal pada pagar dipercayai notis amaran daripada peminjam wang.
"Pada kertas itu tertulis 'Ini adalah amaran, sila hubungi nombor...'
"Pada mulanya saya tidak tahu punca sebenar kejadian, namun seorang sepupu memaklumkan dia menerima pesanan di Facebook (FB) dipercayai daripada ahlong berkenaan yang menghantar gambar abang saya," katanya.
Wong berkata, selepas diselidik, abangnya yang bekerja di Singapura pernah meminjam wang sebanyak SGD450 (RM1,500) pada 11 Oktober lalu, namun sudah membayarnya dua hari kemudian sebanyak RM3,000.
"Kami tidak tahu bagaimana ceti haram ini mendapat maklumat mengenai alamat kami di Malaysia dan FB sepupu. Malah memaklumkan bahawa abang masih mempunyai tunggakan sebanyak RM45,000.
"Kami kini berada dalam ketakutan kerana mereka berani buat ugutan seteruk ini sedangkan saya mempunyai anak kecil dan warga emas. Saya kini menumpang di rumah saudara dan tidak dapat bekerja," katanya yang bekerja sebagai pemandu e-hailing.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon berkata, pemberi pinjaman wang itu sangat berani melakukan jenayah malah meninggalkan nombor telefon kerana yakin mereka sukar dijejaki polis Malaysia.
"Ahlong ini memberikan pautan kepada peminjam kononnya untuk laman web atau untuk memuatnaik aplikasi, sedangkan pautan itu menyebabkan semua maklumat peminjam diceroboh ahlong," katanya.
No comments
Post a Comment