Barisan Nasional (BN) berpeluang merebut sebahagian pengundi atas pagar jika berani tampil dengan imej lebih bersih, kata penganalisis ketika persoalan timbul mengenai hayunan undi golongan itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pemerhati politik, Azizi Safar berkata, gabungan itu boleh mengambil langkah berani dengan pengerusinya, Ahmad Zahid Hamidi tidak bertanding.
“Kalau Zahid Hamidi tak bertanding, BN akan dapat lebih sokongan.
“Pada masa ini ada yang sokong BN tetapi tidak mahu keluar mengundi kerana faktor Zahid Hamidi yang masih dilihat mungkin menjadi perdana menteri selepas PRU15 jika BN menang,” katanya kepada MalaysiaNow.
Zahid yang juga ahli parlimen Bagan Datuk itu menjadi kunci utama pembubaran Parlimen, selepas berkali-kali mendesak perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob mengadakan pilihan raya pada tahun ini juga, sekalipun ada kebimbangan mengenai cuaca buruk dan banjir.
Beliau baru-baru ini dilepaskan daripada 40 pertuduhan kes rasuah sistem visa luar negara, namun masih berdepan dengan pertuduhan membabitkan wang daripada Yayasan Akalbudi.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli turut menyatakan keperluan Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi 30% daripada 60% undi atas pagar.
Kajian Universiti Yale baru-baru ini mendapati 33.4% pengundi berada di atas pagar.
Universiti itu turut menganggarkan kira-kira 28.1% undi popular untuk BN, 9.9% Perikatan Nasional (PN) dan 24.4% untuk PH.
Baki 4.2% undi popular akan pergi kepada lain-lain parti.
Shahrir Samad antara pemimpin BN yang mengumumkan tidak bertanding bagi membersihkan namanya di mahkamah.
Bekas ahli Parlimen Johor Bahru itu didakwa atas kegagalan mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri, Najib Razak.
Beliau satu-satunya pemimpin dalam “kluster mahkamah” yang mengumumkan tidak bertanding.
Menurut Azizi, pada PRU14 lalu majoriti pengundi sudah membuat keputusan untuk menyokong parti mana jauh lebih awal daripada tarikh pembubaran Parlimen kerana isu-isu yang berlegar semasa itu, antaranya 1MDB dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Azizi berkata kali ini golongan atas pagar mengambil sikap tunggu dan lihat.
Ada antara mereka yang serik akibat “salah mengundi” pada PRU14.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kartini Aboo Talib berkata, PRU14 tahun lalu menyaksikan pengundi atas pagar berada dalam julat 37% hingga 40%, namun mencatatkan jumlah keluar undi yang tinggi (82.3%) berbanding PRU13, iaitu sebanyak 76%.
“Pengundi atas pagar akhirnya tidak berada di atas pagar selamanya kerana mereka harus membuat pilihan. Mungkin mereka mengambil masa sebelum membuat keputusan untuk memilih.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment