NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'Arwah isteri sangat teruja nak lihat saya pakai jubah konvo'


Kuala Lumpur:
"Saya hanya mahu menunaikan hasrat arwah isteri yang mahu melihat saya memakai jubah konvokesyen biarpun hakikatnya dia sudah tiada di dunia ini," kata Erman Mahrilar.

Erman, 47, berkata, isterinya, Raja Marzuin Raja Baharudin, 39, meninggal dunia pada 20 Ogos tahun lalu kerana jangkitan kuman.

Kisah Erman yang menziarah kubur arwah isteri, Raja Marzuin mendapat perhatian warganet selepas dikongsinya di TikTok, baru-baru ini.

Menurutnya, dia menghadiri konvokesyen pada September lalu tanpa kehadiran insan tersayangnya itu selepas menamatkan pengajian Diploma Pengurusan Pentadbiran.

"Isteri memang semangat mahu melihat saya memakai jubah konvokesyen hingga mahu menempah pakaian khas untuk dipakai pada majlis itu tetapi hasratnya tidak kesampaian.

"Sepatutnya majlis diadakan tahun lalu tetapi kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkannya tertangguh hingga tahun ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

GAMBAR kenangan Erman bersama arwah isteri, Raja Marzuin. FOTO Ihsan Erman Mahrilar.
GAMBAR kenangan Erman bersama arwah isteri, Raja Marzuin. FOTO Ihsan Erman Mahrilar.

Dia yang juga anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor itu berkata, selepas tamat majlis di Shah Alam, dia segera ke kubur isteri di Bangi untuk merakam kenangan.

"Saya sangat bersyukur pihak pengurusan majlis membenarkan saya membawa pulang jubah itu. Apabila sampai di kubur saya minta adik rakam hanya untuk kenangan dan perasaan terus sebak kerana teringat kenangan kami dan hasratnya itu.

"Tak sangka juga video itu tular tetapi ia bukan untuk menagih simpati atau menunjuk kerana ia hanya untuk kenangan saya sahaja," katanya.

Katanya, banyak kenangan yang dicipta bersama isteri walaupun hanya tiga tahun melayari bahtera perkahwinan termasuk isteri sanggup menemani mengulang kaji pelajaran dan membantunya.

"Isteri memang setia temankan saya belajar, ikut kelas dalam talian dan membuat persediaan ujian akhir sehingga jam 3.30 pagi.

"Sepanjang tempoh belajar tidak mudah untuk saya membahagikan masa kerana mempunyai tugas hakiki tetapi isteri sentiasa memberikan semangat dan banyak membantu," katanya yang tidak mempunyai anak dengan arwah isterinya.

Bercerita lanjut, Erman berkata, selepas isterinya meninggal dunia dia sudah tidak tinggal di rumah mereka di Semenyih.

Katanya, tugas sebagai ketua bot ronda memerlukannya berada di laut selama beberapa hari dan apabila cuti dia akan balik ke rumah ibu bapanya di Alor Gajah, Melaka.

"Rumah di Semenyih hanya datang sesekali saja kerana saya masih belum kuat mahu tinggal di rumah yang banyak kenangan bersama arwah," katanya.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo