NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Apa nasib calon Melayu DAP?


DAP masih belum memberi apa-apa keputusan dalam menetapkan ahli jawatankuasa tertinggi DAP Pusat berbangsa Melayu sebagai calon. Setakat ini terdapat tiga orang wakil Melayu yang disebut-sebut iaitu peguam Syahredzan Johan, bekas ADUN Ketari Pahang Young Syefura Othman dan bekas ADUN Paloh Johor Sheikh Umar Bagharib Ali.

Sheikh Umar di Johor

Antara kerusi parlimen yang dikaitkan adalah Bakri di Johor. Khabar angin kuat mengatakan bahawa penyandang kerusi tersebut iaitu Yeo Bee Yin mahu meninggalkan kerusi tersebut dan mempertimbangkan untuk pulang bertanding di Selangor. Antara yang menyumbang kepada faktor ini adalah untuk lebih dekat dengan keluarganya di Kuala Lumpur dan memudahkan pergerakan semasa kerana beliau kini sedang hamil.

Pada masa ini terdapat dua nama yang disebut ramai bakal menggantikan Yeo untuk menjadi calon di kerusi tersebut iaitu bekas Sheikh Umar Bagharib Ali dan bekas Adun Skudai Tan Hong Pin.

Namun, DAP dikatakan melihat peluang lebih cerah memihak kepada Tan memandangkan beliau merupakan ahli jawatankuasa tertinggi pusat yang menang dalam pemilihan parti. Sedangkan Sheikh Umar hanyalah ahli jawatankuasa yang dilantik pascapemilihan. Walaupun Sheikh Umar menang bertanding dalam pemilihan DAP Johor dan dilantik sebagai naib pengerusi Negeri Johor berbanding Tan yang tewas, ia dipercayai tidak akan mempengaruhi keputusan pemilihan calon di peringkat parlimen.

Dipercayai perbincangan berkaitan kerusi Bakri dilihat dari perspektif kaum untuk kawasan Muar itu sendiri. Di kawasan Muar, terdapat dua parlimen iaitu Bakri dan Muar. Menurut sumber juga, pertimbangan DAP ialah kedua-dua kerusi ini harus diisi oleh seorang calon Melayu dan seorang calon Cina. Ia tidak jauh berbeza dengan percaturan BN iaitu Muar untuk Umno dan Bakri untuk MCA. Oleh itu, tanpa mengambil kira segala potensi yang dimiliki Sheikh Umar sepanjang menjadi lidah DAP dalam menghadapi isu-isu berkaitan Melayu dan Islam, beliau akan berhadapan peluang paling rendah untuk bertanding di Bakri berbanding Tan. 

Difahamkan kini Sheikh Umar telah dilantik menjadi setiausaha politik Yeo di parlimen Bakri sejak empat bulan lalu selepas kekalahan beliau di Paloh dalam pilihan raya negeri Johor. Perkara ini dapat dilihat dalam media sosial milik Sheikh Umar sendiri yang banyak mengemas kini gerak kerja akar umbi di parlimen Bakri. Beliau juga banyak ditugaskan menjadi wakil kepada Yeo untuk beberapa program di Bakri terutamanya di kawasan Melayu.

Satu sumber lain menyatakan bahawa, justifikasi DAP untuk meletakkan calon Cina di Bakri juga kerana kerusi tersebut merupakan kerusi majoriti pengundi kaum Cina paling besar berbanding kerusi-kerusi parlimen ditandingi DAP di Johor. Sebagai contoh di parlimen Kluang, kerusi tersebut hanyalah 48% Cina, 9% India dan 42% Melayu pada PRU14 yang lalu. Berbanding Bakri, memiliki 53% pengundi Cina.

Bagaimanapun, tanpa disedari bilangan pengundi di Bakri kini sudah berubah dengan penambahan Undi 18 dan undi automatik. Peratusan pengundi Cina di Bakri semakin berkurang kepada 51%, Melayu 48% dan India 1%. Melihat kepada data-data ini, Bakri berpotensi menjadi kerusi bukan majoriti Cina lagi dalam satu ke dua pilihan raya yang akan datang. Ditambah dengan unjuran perkembangan populasi yang tidak seimbang antara Melayu dan Cina, kerusi Bakri berkemungkinan menjadi kerusi majoriti Melayu pada masa akan datang seperti kerusi-kerusi tradisi DAP yang lain juga.

Antara perkara yang wajar dibahaskan juga adalah adakah DAP akan memilih untuk mengorak langkah ke hadapan dengan menghantar wakil anak muda Melayu iaitu Sheikh Umar ke Dewan Rakyat menerusi kerusi parlimen Bakri yang pada ketika ini merupakan kubu kuat DAP. Atau adakah dengan kualiti yang ada, Sheikh Umar akan menjadi satu lagi 'suara kecil' Melayu DAP yang hanya akan bersuara di luar gelanggang perbahasan dasar negara iaitu Parlimen Malaysia.

Syahredzan Johan di Selangor

Bagaimana pula dengan calon Melayu yang lain? Meskipun khabar angin kencang mengatakan Syahredzan Johan hampir pasti menjadi calon DAP di Parlimen Bangi, tetapi apakah faktor sebenar DAP menempatkan dia di situ? 

Umum mengetahui bahawa penyandang kerusi tersebut iaitu Ong Kian Ming tewas dalam pemilihan ahli jawatankuasa tertinggi DAP dan mengumumkan tidak lagi mahu bertanding pada PRU15 sekali gus mengumumkan Syahredzan sebagai wakil beliau di kawasan parlimen Bangi. Perkara ini juga telah mendapat restu dari DAP Selangor dan DAP Pusat sendiri serta memberi gambaran bahawa dia ditugaskan mempertahankan kerusi tersebut.

Tetapi satu lagi perkara yang tidak diketahui ramai adalah faktor demografi di parlimen Bangi yang kini semakin bertambah peratusan pengundi Melayu. Ditambah pula dengan kekuatan jentera dari PAS di Sungai Ramal yang cukup diketahui ramai yang merupakan salah satu penyandang kerusi DUN di parlimen tersebut.

Perkara ini sebenarnya menimbulkan kerisauan di kalangan pimpinan DAP dan Bangi kini menjadi bukan lagi kerusi selamat untuk mereka. Lalu langkah DAP adalah dengan meletakkan calon Melayu di kerusi tersebut dan ia boleh membawa kepada dua jawapan pasca PRU15 nanti. 

Jawapan pertama adalah jika kerusi itu berjaya dipertahankan, kredit akan diberikan kepada DAP kerana berjaya menempatkan wakil Melayu di parlimen dengan memberikan kerusi tradisi mereka. Tetapi bagaimana pula jika gagal? Ini membawa kepada jawapan kedua iaitu calon Melayu iaitu Syahredzan bakal membawa imej negatif dalam DAP kerana gagal mempertahankan kerusi tradisi yang telah dimenangi selama tiga penggal.

Young Syefura di Pahang

Satu lagi wakil Melayu DAP yang disebut-sebut adalah Young Syefura.

Beberapa media sebelum ini melaporkan bahawa beliau akan dicalonkan di kerusi parlimen Bentong menggantikan Wong Tack. Kerusi ini pertama kali dimenangi DAP pada PRU14 yang menyaksikan tewasnya Liow Tiong Lai gergasi dari MCA.

Namun begitu, tidak seperti penyandang kerusi parlimen Bakri dan Bangi yang memberikan sokongan kepada calon pengganti mereka, Wong Tack dilihat langsung tidak memberi apa-apa gambaran bahawa beliau akan meninggalkan kerusi tersebut.

Sumber juga menyebut hubungan antara penyandang kerusi parlimen Bentong dan DUN Ketari itu jarang dilihat bersama dalam apa-apa program walaupun berkongsi kawasan pengundi yang sama. 

Namun begitu, belum dapat dibaca lagi dari DAP Pahang dan juga DAP Pusat tentang dimanakah Young Syefura bakal dicalonkan. Ini kerana berbeza dengan Sheikh Umar dan Syahredzan Johan yang dilantik masuk ke dalam Jawatankuasa Tertinggi DAP Pusat, Young Syefura telah mencipta sejarah kerana menang dan dipilih akar umbi DAP dalam pemilihan tersebut.

Namun begitu adakah DAP akan memberikan kerusi Parlimen yang selesa untuk wakil Melayu perempuan DAP tersebut atau sekadar dicalonkan sekali lagi bertanding dalam DUN Pahang?

Semuanya masih menjadi tanda tanya dan pastinya menjadi percaturan besar buat DAP. Tambahan pula, berdasarkan prestasi semasa yang menyaksikan DAP sebagai parti tonggak terkuat dalam Pakatan Harapan, adakah DAP akan mengambil peluang keemasan PRU15 ini untuk menampilkan tokoh-tokoh Melayu muda yang berpotensi menggilap nama seperti Syahredzan, Yong Syefura dan Sheikh Omar ini?

Adakah DAP akan melakar wajah kepelbagaian parti mereka di Dewan Rakyat demi mematahkan hegemoni perkauman musuh-musuh politiknya? Segalanya pasti terjawab sejurus pengumuman nama-nama calon oleh DAP dalam masa terdekat.


MUHD IQBAL ABDULLAH
penyokong tegar DAP.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo