Walaupun Pakatan Harapan Perak mengalu-alukan pencalonan Anwar Ibrahim di Tambun, nampaknya beberapa pengundi yang ditemui di kerusi parlimen itu tidak berkongsi sentimen yang sama.
Pemerhatian Malaysiakini di kawasan itu mendapati pendapat berbeza antara pengundi dan akar umbi PKR.
Penduduk Tambun, Abdul Salam Zakaria melahirkan rasa tidak berminat dan terkejut selepas mendengar mengenai perpindahan Anwar dari kerusi Port Dickson sebelum ini.
“Boleh ker dia menang di sini? Saya tidak fikir dia mempunyai peluang di sini. Saya tidak faham strateginya,” kata ahli perniagaan berusia 58 tahun itu.
Tambahnya, Anwar berdepan pertarungan sengit menentang Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu, yang juga menteri belia dan sukan serta bekas menteri besar Perak.
“Pada pendapat saya, ia akan menyakitkan dia (Anwar) di sini. Pengaruh Faizal Azumu di sini kuat. PAS juga,” katanya sambil menegaskan majoriti pengundi di Tambun ialah orang Melayu.
Ditanya jika dia tidak berpuas hati dengan prestasi Anwar di arena politik, Abdul Salam berkata dia tidak nampak perbezaan antara presiden PKR dan pemimpin BN.
“Kalau soal duit, semua sama saja. Mereka hanya fikir tentang diri mereka sendiri.
“Sebaliknya, tiada pemimpin PAS terlibat dalam mana-mana kes rasuah,” dakwanya yang mengundi di kerusi Parlimen Tambun dan DUN Manjoi.
Alex Choong, seorang lagi pengundi di kawasan Tambun, turut berkongsi sentimen yang sama, menyatakan sikap tidak peduli mengenai keputusan Anwar bertanding di sana.
“Macam mana jika dia boleh menang? Bagi kami, semuanya sama. Sesiapa yang mengambil Tambun, ia akan tetap sama.
"Saya belum putuskan sama ada saya akan mengundi atau tidak," kata ahli perniagaan berusia 46 tahun itu.
Untuk lebih baik atau teruk?
Seorang lagi pengundi yang ingin dikenali hanya sebagai Yik, kelihatan berada di atas pagar.
Pengurus IT berusia 32 tahun itu berkata dia akan mengundi untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia, tanpa mengambil kira pencalonan Anwar.
“Melihat bagaimana rakan-rakan saya berkata mereka tidak akan mengundi, saya tidak fikir kehadiran Anwar akan menarik pengundi untuk balik (ke Tambun), tetapi bagi mereka yang masih mahu mengundi, ya, sekurang-kurangnya kita ada calon berprofil tinggi kali ini.
“Pada pendapat saya, kehadirannya di Perak adalah penting kerana anda tahu Perak pecah 50-50.
"Meletakkan ahli politik berprofil tinggi mungkin mengubahnya, tetapi untuk lebih baik atau lebih teruk, kita akan lihat."
Bagaimanapun, Naib Pengerusi Wanita PKR Tambun Mahanin Abdul Hamid (gambar, bawah) berkata hasil daripada tinjauan yang dilakukannya mengenai populariti PH di kawasan itu menunjukkan sebaliknya.
“Sebelum Anwar mengumumkan akan bertanding di Tambun, saya telah diminta membuat tinjauan di kerusi ini.
“Maklum balas itu mengejutkan saya kerana penerimaan pengundi terhadap Pakatan Harapan adalah 80 peratus dan mereka menolak Perikatan Nasional dan BN.
“Mereka memetik isu ekonomi dan rasuah serta masalah banjir di kawasan itu. BN tak turun padang jumpa rakyat semasa banjir.”
Walaupun gembira dan berterima kasih kepada Anwar kerana memilih kerusi Tambun, dia mengakui tempoh sebulan ini memenatkan dengan aktiviti berkempen, membayangkan ia seperti 'kenduri-kendara'.
“Sebagai pengundi, saya berasa bertuah kerana tinggal di Tambun dan jika menang akan berada di bawah pentadbiran Anwar. Saya sangat bersyukur.”
Dalam perkembangan berkaitan Pengerusi PH Perak Mujahid Yusof (gambar, atas) pula memberi sambutan hangat kepada Anwar untuk bertanding di Tambun.
“Tiba masanya orang Perak berbangga calon perdana menteri kali ini dari bumi bertuah Perak Darul Ridzwan.
"Parlimen Tambun adalah lambang kepada menebus perbuatan khianat mandat rakyat dari penyandangnya," katanya pada satu kenyataan hari ini.
Untuk rekod, pada pilihan raya umum 2013, Anwar dikhabarkan akan bertanding di kerusi parlimen Perak tetapi rancangan itu gagal.
Sembilan tahun kemudian, keputusan Anwar untuk bertanding di Tambun bagi PRU15 dipuji kerana kepimpinannya dapat memastikan pembangunan dan kesejahteraan pengundi, menurut penyandang Adun Hulu Kinta Muhamad Arafat Varisai Mahamad (gambar, atas)
Jelasnya, ini peluang Anwar untuk menewaskan Ahmad Faizal, yang merupakan sebahagian ahli parlimen Bersatu yang keluar PH pada 2020, menyebabkan keruntuhan kerajaan persekutuan ketika itu.
"Keputusan Anwar untuk bertanding di Tambun adalah peluang untuk mengubati luka rakyat yang diguris oleh Peja (Ahmad Faizal)," katanya kepada Malaysiakini.
Pemimpin PKR itu berkata pusat khidmatnya bersedia menjadi salah satu bilik gerakan kempen untuk Anwar.
Timbalan pengerusi pilihan raya PKR Perak MA Tinagaran (gambar, atas) pula berkata Anwar mengambil risiko besar masuk ke wilayah yang belum diterokai untuk menguji populariti kepimpinannya.
Berdasarkan pemerhatiannya, Tinagaran berkata terdapat ramai orang teruja memandangkan calon perdana menteri bertanding di negeri ini.
Dia melabelkan Anwar sebagai tokoh paling penting dalam PRU15.
“Anwar adalah kesatria dalam perisai bersinar yang datang. Semua orang dari berbagai kaum sangat teruja.
“Kita perlukan ikon seperti Anwar di Perak. Kita telah banyak kali gagal untuk kekal sebagai kerajaan negeri. Ada beberapa isu kepimpinan yang perlu diberi perhatian.
"Anwar akan dapat memberi kepimpinan dan penghormatan seperti itu."
Ng Xiang Yi
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment