NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Anwar kata lebih baik jumpa rakyat daripada jumpa Mahathir ketika ini


Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim berkata bertemu rakyat lebih menjadi keutamaan ketika ini berbanding pertemuan dengan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Dr Mahathir Mohamad.

Anwar juga menegaskan bahawa dia tidak pernah mengatakan bahawa PH akan bekerjasama dengan GTA.

“Kerjasama apa? Bila saya kata (terbuka untuk bekerjasama dengan GTA)? Saya kata untuk berbincang dengan sesiapa pun boleh 'bincang'. Kalau diperlukan (berbincang) hari ini saya ada di Pulau Pinang, lusa di Sarawak.

“Bagi saya lebih baik menemui rakyat dalam keadaan sekarang ini. Usul adakan pertemuan itu, seolah-olah belum ada pertemuan, (sedangkan) berpuluh kali sudah ada pertemuan sebelum ini,” katanya seperti dilapor Bernama.

Presiden PKR itu bercakap kepada pemberita selepas menghadiri program makan malam Majlis Pimpinan Negeri PKR di Spice Arena, di Pulau Pinang yang turut dihadiri Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Pengerusi DAP Pulau Pinang yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Media sebelum ini melaporkan Mahathir bersedia bertemu Anwar, bagi mengadakan rundingan untuk kerjasama menghadapi PRU15.

Ketika ditanya sama ada dia menerima permohonan untuk berjumpa daripada pihak Dr Mahathir, Anwar enggan mengulas lanjut.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata dia tiada masalah bertemu dan berbincang dengan Dr Mahathir, namun menegaskan perkara yang ditekankan PH ialah berkenaan kepentingan untuk melawan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Bernama turut memetik Anwar memberi gambaran kemungkinan besar penyandang parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, akan mempertahankan kerusi itu pada PRU15 nanti.

“...kemungkinan menuju arah itu (Nurul Izzah pertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh). Kemungkinan besar...kemungkinan yang amat besar,” kata Anwar.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh menjadi kubu kuat Anwar dan keluarganya, yang memegang kerusi itu sejak 1982. Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR memenangi kerusi itu pada PRU14 dengan majoriti lebih 15,000 undi.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo