NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Amalan panggil makan kenduri orang tua dulu-dulu yang sudah ditinggalkan


Hari ni saya jadi macam kisah Lebai Malang pi makan kenduri tapi tak dapat jumpa lokasi yang diberikan walaupun dah sampai sebab tempat besar dan berbelit. Akhirnya balik dan makan kat kedai.

Rasa bersalah pun ada. Rasa lapar geram pun ada. Sambil memandu patah balik cari kedai makan, teringat bagaimana zaman kanak-kanak dulu tengok orang tua tangani urusan kenduri kendara mereka.

Imbauan kenangan lama itu berpunca dari percubaan untuk tenteramkan hati dari perasaan bersalah tak hadir di tempat kenduri. 

Saya pujuk hati bahawa kejadian itu tak lah teruk sangat sebab cara tuan kenduri memanggil tu tak sama dengan cara orang tua dulu-dulu memangggil.

'Memanggil', itu perkataan yang diguna pakai dalam bab membuat jemputan kepada sanak saudara dan kenalan untuk datang makan kenduri masa saya kat kampung dulu.

Cara orang tua memanggil

Zaman dulu kat kampung, kalau ada orang kampung yang jarang datang rumah, tiba-tiba datang berpakaian kemas muncul di depan pintu, kebiasannya datang untuk memanggil makan kenduri lah tu.

Itu juga salah satu dari sebab saudara jauh samada dari segi pertalian darah mahupun tempat tinggal tiba-tiba sampai ke rumah.

Mereka datang semata-mata untuk membuat jemputan makan kenduri secara formal. Siapa dengan ayat formal seperti 'kami satu keluarga nak panggil Mak Besah dan seluruh keluarga samada yang ada kat rumah ni atau yang tinggal diluar untuk datang makan kenduri ke rumah kami dari hari ni sampai ke hari kenduri pada sekian-sekian tarikh dan masanya.

Kemudian jika dia nak panggil saudara berdekatan lain yang tak sempat, lalu diwakilkannya kepada Mak saya pulak dengan formal untuk menjemput mereka turut sama pergi makan kenduri.

Tak habis sebutan dan lafaz formal dari mulut. Diberikannya pula kad jemputan dan ditulis nama pada luar sampulnya. Jika ada serahan wakil, juga ditinggalkan juga kad jemputan tertulis nama keluarga yang mahu dijemput itu.

Setelah mendapat perwakilan tu, mak saya pula akan berusaha untuk pergi ke rumah orang yang dijemput tersebut untuk sampaikan wakilannya sekali dengan kad jemputan.

Proses memanggil itu ambil masa melebihi sebulan. Itu tak termasuk urusan perancangan bila nak pergi memanggil dan siapa yang akan pergi. Saya lihat semua itu ketika abang sulong nak kahwin masa saya masih remaja lagi.

Mak akan bersusah payah naik bas turun bas dari satu tempat ke satu tempat di mana ada sanak saudara yang tinggal. Sekalipun jauh, dia akan tetap usahakan untuk sampai juga.

Jika perlu, minta bantuan bapak saudara yang ada kenderaan untuk bantu dia bawa menemui sanak saudara yang jauh tu. Sekali harung ziarah dengan panggil makan kenduri.

Bagi keluarga yang masih ada orang lelaki, saya saksikan sendiri mereka bersusah payah datang dari Bagan ke Penanti umpamanya naik basikal hanya untuk panggil makan kenduri.

Salam tak lepas ketika memanggil tu. Jika silap sebut, mahu orang yang dipanggil tu tak hadir.

Pernah sekali saya diminta mak panggil orang masjid makan kenduri tahlil arwah sahaja. Hanya saya saja wakil anak lelaki yang masih tinggal dengannya di kampung. Jadi kerja sayalah bila kena urusan dengan masjid dan surau.

Cara mudah panggil orang masjid adalah dengan pergi wakilkan pada tok siak masjid. Itulah yang saya buat.

Bila tiba hari kenduri selepas zohor, semua orang masjid datang kecuali Tok Siak yang saya wakilkan sebelum itu. Saya tercari-cari kenapa dia tak datang. Masa solat zohor tadi saya lihat dia ada. Tapi kenapa dia balik?

Saya tanya pada orang masjid lain samada ada kenduri lagi dirumah orang lain. Mereka jawab tak ada. lalu saya tanya kenapa Tok Siak tak datang.

Rupanya cara saya panggil salah. Saya hanya wakilkan dia saja untuk panggil semua orang masjid lain datang makan kenduri sedangkan saya tak panggil dia terlebih dulu untuk datang makan kenduri.

Malunya saya ketika itu. Tapi ia jadi satu pengajaran besar betapa pentingnya memahami adat dan cara betul buat panggilan.

Apa yang Tok Siak tu buat memang betul lah. Saya tak sebut pun panggil dia datang makan. Saya hanya wakilkan dia saja. Itulah yang dia buat! Dan dia sedikitpun tak marah dan tak kecil hati.

Cara orang sekarang memanggil

Cara moden ni amat mudah sekali. Bubuh saja kad panggilan elektronik dalam grup wasap, habis cerita. Itu dah dianggap satu panggilan.

Tak datang rumah. Tak ada buat panggilan telefon secara peribadi seorang demi seorang. Walaupun kalau dibandingkan cara dulu kenan naik bas turun bas adalah jauh lebih teruk, sebab tak ada line telefon. Apa salahnya telefon panggil jika anda benar-benar mahukan orang yang dipanggil tu hadir.

Bulan sudah ada saudara sepupu saya buat kenduri kahwin anaknya. Dia buat macam tu juga. Bubuh saja dalam grup wasap kami sepupu sepapat dan itu saja. Masa kenduri saya lihat ada sepupu yang tak hadir.

Saya syak masih ada sepupu yang otai masih berpegang dengan adat dulu tak anggap itu satu panggilan yang sah atau bersungguh-sungguh. Jadi tak ambl berat sangat untuk hadirkan diri mereka.

Dengan cara yang diamalkan sekarang, mendapat panggilan dari saudara sebegitu, saya akan pergi juga sebab ambil berat untuk bertemu saudara mara lain yang dah lama tak jumpa. Itulah peluang terbaik bertanya khabar dan update maklumat terkini.

Dengan cara panggilan yang sama juga saya gunakan sebagai alasan jika tak dapat hadirkan diri. Lansung tak rasa bersalah kalau tak pergi sebab diapun tak berapa ambil berat bersungguh untuk panggil, maka mudah saja untuk saya tidak ambil berat untuk pergi. 

Tambah lagi jika kenduri tu jauh dan saya kebetulan ada kerja lain yang walaupun tak berapa penting sangat akan utamakan kerja.

Masa dan teknologi yang semakin merapatkan hubungan sesama manusia, sedar tak sedar dalam masa yang sama telah merenggangkan perhubungan manusia. Emosi ikatan dan perasaan ambil berat terhadap urusan kemasyarakatan jadi sangat longgar.

Perkara yang sama berlaku pada diri saya.

Tambahan pula setelah lebih 2 tahun aktiviti makan kenduri jadi sepi sebab wabak covid. Wabak itu menjadi alasan dan tanam perasaan biasa untuk tidak hadirkan diri pada program keramaian.

Kalau tak hadir, kita harap pihak yang memanggil akan sangka kita tak sihat. Jadi selesai masalah dan tak timbul prasangka buruk.

Kenduri di dewan

Satu lagi amalan moden adalah buat kenduri di dewan yang disewa.

Itu amalan yang sangat popular sekarang. Dipermudahkan lagi dengan tawaran yang menarik dari pengusaha perniagaan sedemikian yang sediakan segala tempat makan dan minum untuk mereka yang adakan majlis kenduri.

Orang dulu tak akan buat sebegitu sebab masing-masing ada rumah dan halaman yang besar untuk adakan majlis kenduri besar. 

Lagipun zaman dulu semua jiran sekeliling akan terlibat setiap kali jirannya adakan kenduri besar. Habis tupang rumah jiran dan halaman rumah jiran digunakan seoptimum mungkin. Jiran pun sangat sporting. Malah mereka jadi macam tuan rumah pun dalam kendalikan majlis kenduri yang besar.

Masa kenduri abang saya dulu, habis semua mak saudara akan datang tinggal di rumah saya buat persediaan paling kurang seminggu sebelum sebelum majlis dan dua atau tiga hari selepas selesai majlis.

Susana ceria dan perhubungan sangat rapat sesama saudara mara ketika itu.

Sekarang mana ada lagi macam tu. Jiran pun tak berapa rapat. Rumah pun kecil. Ngam-ngam saja dengan jumlah ilik dan ruang tamu yang terhad. Halaman pula tak ada. Kenap pasang khemah, kacau habis lalu lintas taman dan boleh timbulkan masalah masam muka pada jiran lain yang tak suka dan mahukan privacy.

Maka dewan besar swasta jadi pilihan utama kebanyakan orang. Rumah sendiri tak kotor dan tak ada kerja yang perlu dilakukan untuk siapkan rumah dan kemas rumah bila tamat majlis. Segalanya mudah. Dan semua orang akan ambil mudah.

Bagaimana anda amalkan urusan memanggil kenduri sekarang?



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo