NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'Akan ada pengumuman penting hari ini' - Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi petunjuk akan ada pengumuman penting dibuat kerajaan hari ini, kemungkinan berkaitan pembubaran Parlimen.

Beliau juga mengesahkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah mempersembahkan cadangan pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Saya pasti bahawa Perdana Menteri yang mempunyai kuasa menasihati Agong sudah melaksanakan tugasnya. Saya fikir bila pun pembubaran itu diumumkan, kami dalam BN sentiasa bersiap siaga.
"Bila pun tarikh yang akan diumumkan, jika pun ia dibubarkan pada hari ini, kami sedia untuk menangkan calon Barisan Nasional. Apa pun yang akan diumumkan personaliti yang berada di luar dari kami ini nanti, tidak akan menenggelamkan (berita) dari kami," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-76 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Turut sama hadir, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Kadir serta Bendahari BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menjelaskan pembubaran Parlimen tidak dapat dielakkan dan BN kini sedang giat mengumpulkan cadangan manifesto PRU dari setiap parti komponennya.

Beliau juga berkata, tiga negeri yang ditadbir BN iaitu Perlis, Pahang dan Perak akan dibubarkan bersekali dengan pembubaran Parlimen bagi membolehkan pilihan raya diadakan.

"Kerajaan negeri dipimpin BN sangat prihatin. Kita tidak mahu SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dibebankan dengan perbelanjaan tinggi jika pilihan raya diadakan berasingan. Maka, kami ambil keputusan, negeri yang ditadbir BN tidak akan ada PRU berasingan," katanya sambil memaklumkan ia tidak termasuk Johor dan Melaka yang baru selesai mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan tidak akan dibubarkan sehingga tahun depan, sementara PAS yang memimpin Kedah, Kelantan serta Terengganu, juga sudah memutuskan pendirian sama.

Menyentuh soal agihan kerusi, Ahmad Zahid berkata, ada beberapa kerusi yang diperuntukkan kepada parti komponen BN khususnya MIC akan diganti dengan kerusi lain termasuk kerusi Parlimen Cameron Highlands.

"Soal calon pula saya nyatakan dari segi konsensus parti komponen sudah diperuntukkan. Kita sudah ada pemahaman di mana pengekalan kerusi tradisi menjadi amalan kepada kita. Kita mempunyai pendekatan bagi menentukan agihan kerusi," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo