KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menjalani prosedur dan pemeriksaan kesihatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN) selama beberapa hari, bermula hari ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata baginda akan berangkat pulang bersemayam di Istana Negara setelah menjalani pemeriksaan kesihatan itu yang dijangka selesai hujung minggu ini.
“Adalah dimaklumkan juga bahawa kesihatan Seri Paduka Baginda secara amnya dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan,” katanya.
Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah dijadualkan menjalani prosedur itu pada pertengahan September lepas tetapi ditangguhkan.
Beliau berkata penangguhan itu berikutan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke London, United Kingdom selama lima hari bermula 16 Sept lepas bagi menghadiri Istiadat Pemakaman Negara Ratu Elizabeth II.
“Seluruh rakyat diseru bersama mendoakan semoga Seri Paduka Baginda menjalani prosedur tersebut serta pemeriksaan kesihatan susulan dengan lancar dan Baginda dikurniakan keafiatan yang berpanjangan,” kata Ahmad Fadil. – BERNAMA
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment