SELAIN spekulasi pimpinan UMNO di Melaka bertukar kerusi demi untuk menguatkan parti dan kerajaan negeri, perkara sama turut tempias kepada kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.
Terbaharu, khabar angin bertiup kencang mengaitkan dua nama besar dalam PH dan PN negeri itu, yang dikatakan akan berentap di kerusi Parlimen Jasin.
Jasin antara kerusi yang menjadi rebutan Bersatu yang akan meletakkan Ketua Badan Pimpinan negeri, Dr. Mohd Yadzil Yaakub manakala PH dari Amanah pula akan mempertaruhkan Pengerusi negerinya, Adly Zahari.
Ketika ini, penyandang Parlimen Jasin adalah Datuk Ahmad Hamzah dari UMNO yang ketika di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin tahun 2020 dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan.
Namun, pada Disember 2020, Ahmad, 74, mengumumkan tidak akan bertanding bagi mempertahankan kerusi itu yang disandangnya sejak 2008 pada PRU-15 kali ini.
Hasrat itu dinyatakannya sendiri kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusof.
Dalam dua PRU sebelum ini iaitu tahun 2008 dan 2013, beliau mendapat majoriti yang besar melebihi 10,000 undi, cuma pada PRU14 hanya mendapat majoriti tipis, 219 undi.
Sungguh pun tipis, Ahmad yang diberi gelaran gergasi Jasin tetap menang mengalah Khairuddin Abu Hassan dari Amanah dan Abdul Alim Shapie dari Pas.
Kini, selepas Ahmad tidak lagi mempertahankan kerusi itu, ia mula menjadi rebutan di kalangan PN dan PH untuk meletakkan panglima mereka masing-masing.
Pemerhati politik melihat, setakat ini hanya Exco Kerajaan Negeri itu yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh yang mampu mencabar Dr. Mohd Yadzil dan Adly di kerusi berkenaan berdasarkan sokongan penduduk setempat.
Kubu UMNO itu dilihat semakin goyah susulan pengumuman Pas semalam untuk terus kekal bersama PN dalam PRU-15 manakala BN pula akan bergerak solo berdepan dengan empat penjuru.
Persoalan sama ada UMNO berani mengemukakan calon baharu seperti yang dilakukan pada PRN Melaka hanya akan terbukti selepas pengumuman calon sedikit masa lagi.
Melaka yang terletak dalam Zon Selatan bersama Negeri Sembilan dan Johor mempunyai enam kerusi Parlimen dan 28 kerusi DUN.
Bagaimanapun, DUN Melaka telah mengadakan Pilihan Raya Negeri awal pada November lalu, menyaksikan UMNO, BN menyapu bersih 21 daripada 28 kerusi, sekali meletakkan parti itu menang selesa.
Parlimen Melaka pula ketika ini dikuasai oleh PH yang menang di empat kerusi iaitu Alor Gajah, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya dan Kota Melaka, manakala BN dan PN masing-masing satu kerusi iaitu Masjid Tanah (lompat parti dari BN ke PN) dan Jasin. – MalaysiaGazette
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment