Jika dianalisis berdasarkan kerangka kaum, pilihan raya umum (PRU) di Malaysia sebenarnya medan untuk menguji kebolehan pemimpin politik mengimbangi sokongan antara kaum Melayu dengan bukan Melayu. Suka atau tidak, retorik politik dibingkaikan sebegitu. Sentimen kaum dimainkan sewenang-wenangnya, untuk memastikan pembangkang gagal mengerah momentum yang secukupnya agar Umno-BN ditumbangkan.
PRU8 pada tahun 1990 membuka peluang untuk pembangkang menjatuhkan Umno-BN, namun digagalkan pada saat-saat akhir apabila pengundi Melayu termakan dengan propaganda bahawa Tengku Razaleigh Hamzah bakal menggadaikan Islam, hanya dengan sebaran sekeping gambar yang menonjolkan lambang palang di atas sigah Kadazan yang dipakainya. DAP meraih lebih 70 peratus sokongan Cina, merangkul 20 kerusi parlimen, tetapi Semangat 46 dan PAS sekadar merampas lapan dan tujuh kerusi parlimen.
Sekali lagi Malaysia terlepas peluang untuk menukar kerajaan di peringkat persekutuan, dalam PRU10 pada tahun 1999. Gelombang Reformasi mengombak, kemarahan masyarakat Melayu meluap-luap, khususnya di utara Semenanjung Malaysia, namun Umno-BN diselamatkan pengundi Cina. Dua faktor utama yang menghantui masyarakat Cina ketika itu. Pertama, Cina takut dimangsakan, sebagaimana tragedi rogol dan bunuh yang menimpa kaum Cina di Indonesia pada waktu itu; Keduanya, Cina ditakutkan dengan konsep “Negara Islam” yang diuar-uarkan pemimpin PAS ketika itu.
Kebangkitan “kuasa rakyat”(makkal sakti) dalam PRU12 pada tahun 2008 mungkin paling seimbang antara kaum yang berbeza, sungguhpun kadar sokongan pengundi bukan Melayu terhadap pembangkang lebih tinggi. Tsunami politik mengombak tanpa sesiapa yang menjangkakannya, melambung kadar undi popular pembangkang ke paras 48 peratus, menjadi pemisah zaman yang mengubah landskap politik Malaysia walaupun tidak kesampaian untuk menawan Putrajaya.
PRU13 pada tahun 2013 menyaksikan pertarungan paling sengit antara dua gandingan parti politik dalam sejarah. Sokongan pengundi Cina terhadap Pakatan Rakyat melonjak sehingga 85 peratus, namun masyarakat Melayu menambat langkah dan memilih untuk mengekalkan Umno-BN sebagai kerajaan persekutuan. Slogan “Ini kalilah”, terpaksa berakhir dengan “Lain kalilah”.
Kini, ramai yang ghairah untuk meramalkan “tsunami Melayu” dalam PRU14, yang bakal diadakan dalam tempoh kurang dari setahun bermula sekarang. Mereka yang cuba mengambil pengajaran dari sejarah mula bimbang, apakah sejarah PRU10 akan berulang, dengan lonjakan sokongan Melayu kepada Pakatan Harapan, tetapi menyaksikan penurunan sokongan daripada masyarakat bukan Melayu (khususnya Cina), sehingga gagal dicukupkan momentum untuk menawan Putrajaya?
Undi Cina telah diumpamakan sebagai “deposit tetap” untuk pembangkang buat kedua-dua PRU12 dan PRU13. Persoalannya, sejauh manakah stamina sokongan pengundi Cina untuk pembangkang bertahan? Apakah ia telah tepu pada paras 85 peratus, atau masih ada ruang untuk dilonjakkan? Mungkinkah sentimen ini menyurut, dan sokongan pengundi Cina berpaling kepada BN semula? Mengapa suasana politik dalam masyarakat Cina kurang hangat, jika dibandingkan dengan waktu-waktu menjelang PRU13?
Kehangatannya mendingin
Beberapa petanda pasca PRU13 harus diteliti. PRK Teluk Intan pada Mei 2014 menyaksikan penurunan undi Cina kepada pembangkang, dari 85 peratus kepada 70 peratus, sehingga DAP gagal mempertahankan kerusi parlimen tersebut. Dua tahun kemudian, DAP kehilangan lima kerusi DUN dalam PRN Sarawak, daripada 15 yang dikuasainya pada tahun 2011. Malah, sehingga pilihan raya kecil kembar terakhir sebelum PRU14, iaitu Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada Jun 2016, pembangkang nampaknya masih gagal memulihkan sokongan pengundi Cina ke tahap 85 peratus.
Dari segi penglibatan gerakan sosial, Himpunan BERSIH 4 pada Ogos 2015 memperlihatkan penyertaan aktif masyarakat Cina, namun momentum ini tidak bertahan sehingga BERSIH 5 pada November 2016. Forum (bahasa Cina) yang membincangkan isu-isu semasa tidak mendapat sambutan yang memberangsangkan sebagaimana dahulu; malah perbincangan isu semasa dalam laman sosial juga hilang fokusnya.
Jikalau diimbas tempoh setahun menjelang PRU13, dengan senang komuniti Cina dikerah. Wong Tuck, yang tidak dikenali langsung sebelum isu Lynas muncul, disambut hangat. Dengan hanya mengumumkan keputusan untuk berjalan kaki dari Kuantan ke Kuala Lumpur sebagai tekad menolak Lynas, segala-galanya diaturkan oleh sukarelawan dari setiap pelosok. Kaum ibu yang ketika itu menubuhkan “Mama BERSIH”, turut serta sebagai tanda solidariti. Momentum ini bergolek melalui laman sosial, sehingga akhirnya ia meledak.
Tidak terlampau jika ada yang menyifatkannya sebagai zaman “petik jari saja, ribuan turut serta”. Mana-mana politikus BN yang terlanjur kata, akan disanggah, disindir dan dikecam teruk di laman sosial. Fans Page ditubuhkan untuk membuktikan kepada penguasa bahawa “kami mempunyai angka yang lebih besar”. Misalnya apabila Najib menubuhkan page rasminya Ah Jib Gor, maka penyokong pembangkang menubuhkan Ah Wah Gor untuk Anwar Ibrahim. “Like” yang diperoleh page Anwar ini memintas angka “Like” Ah Jib Gor dalam masa 24 jam ketika itu. Apa-apa sahaja yang dilakukan oleh penguasa, tidak kena pada tempatnya.
Persoalannya, berapa agaknya susuk tubuh manusia yang mampu dikerah ke jalan raya, jikalau seseorang pemimpin politik mahupun NGO tampil dan memanggil satu himpunan membantah kenaikan harga minyak sekarang? Jangankan turun ke jalan raya, masakan tubuh “page” di Facebook pun sukar mencecah angka 20,000 “Like”.
Kebuntuan politik
Sudah tentu ramai yang tertanya-tanya, mengapa? Faktornya banyak, dan saling berkaitan. Rombakan landskap politik pasca PRU13 antara punca utama. Pengundi Cina yang mencurah seluruh keringatnya untuk menyokong PAS dalam PRU13, menganggap dirinya dikhianati. Mereka menyokong “PAS untuk Semua”, tetapi ia berakhir dengan “PAS untuk Ulama” setelah pemimpin yang lebih progresif dicantas dalam pemilihan parti pada Jun 2015. Tema “Negara Berkebajikan” dibakulsampahkan, diganti dengan tekad pelaksanaan hudud dan retorik yang memusuhkan Muslim dengan non-Muslim. Lebih-lebih lagi, PAS kini kelihatan lebih mesra untuk didampingi Umno, berbanding bekas rakan seperjuangannya dalam Pakatan Rakyat.
Meskipun masih panas hatinya terhadap Najib Razak yang terpalit dengan skandal 1MDB, pengundi Cina kebanyakannya tersepit dalam dilema, seandainya kawasan pengundian dirinya menyaksikan pertembungan antara PAS dengan Umno. Pelbagai kempen boleh diadakan untuk mendaftarkan pengundi yang telah berkelayakan, atau seruan agar tidak membuang undi rosak. Namun satu soalan kekal tidak terjawab, siapakah yang harus diundi, jikalau pilihan terpaksa dibuat antara PAS dengan Umno? Jikalau jawapannya ABU (Asal Bukan Umno), si Cina ini akan menyusul, “Apakah jaminan PAS tidak akan bekerjasama dengan Umno andainya PAS menang?”
Barangkali sesetengah pemimpin Pakatan Harapan akan mencadangkan, undi HARAPAN, yang sudah bersedia bertanding meskipun tiga penjuru. Kita ketepikan dahulu persoalan sejauh manakah HARAPAN boleh menang jika undi anti-BN dipecahkan oleh PAS. Cuba kita andaikan, pengundi Cina perlu memilih antara BN, PAS dengan BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Parti mana yang boleh diamanahkan?
Ramai yang teruja dengan kehadiran sosok Dr Mahathir Mohamad dalam HARAPAN. Pada masa yang sama, ramai juga yang bersikap sangsi terhadap bekas PM yang pernah menerajui tampuk kuasa selama 22 tahun ini. Masyarakat Cina lebih terkesan kerana mempunyai rekod dikhianati pada tahun 2000, apabila dituduh oleh Mahathir sebagai komunis dan kumpulan pelampau lantaran isu Suqiu. Suqiu adalah satu dokumen dengan tuntutan 17 perkara dalam bidang pendemokrasian politik, ditandatangani 2,097 pertubuhan Cina di Malaysia. Ia diserahkan kepada Mahathir selaku PM sebelum PRU10, dan diterima Mahathir ketika itu. Bagaimanapun, Mahathir menggigit tangan tuannya setelah rejimnya diselamatkan undi Cina daripada gelombang Reformasi.
Persoalannya, jikalau PAS tidak boleh dipercayai, bagaimana pula dengan BERSATU yang dipimpin Mahathir, yang pernah membuang sepah selepas habis madu 17 tahun lalu? Perlu diingatkan, Suqiu dipelopori pertubuhan Cina yang agak progresif, yang selama ini menjadi tunjang sokongan pembangkang dalam masyarakat Cina. Jikalau tiada dewan yang berani disewakan kepada pembangkang untuk ceramah dan forum, Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor satu-satu tempat yang membuka pintunya. Tetapi inilah bangunan yang pernah diugut untuk dibakar oleh Naib Ketua Pemuda, Abdul Aziz Sheikh Fadzir ketika zaman pemerintahan Mahathir.
Undi Cina diambil kesempatan?
Kita sedia maklum, kekuatan gandingan PKR-DAP-AMANAH gagal memacu momentum yang memadai untuk merempuh pintu Putrajaya. Undi Melayu menjadi kunci utama, lantas kita memerlukan BERSATU atau PAS, atau kedua-duanya sekali. Justeru itu, percaturan strategi HARAPAN kini lebih tertumpu untuk meraih undi Melayu, memastikan kegusaran Melayu diredakan agar mereka memberanikan diri untuk mengorak langkah ke arah perubahan.
Pada masa yang sama, tidak dinafikan bahawa sistem negara selama ini sebenarnya meminggirkan kaum bukan Melayu yang minoriti, miskin dan lemah. Komuniti Cina merasakan diri mereka dimangsakan sistem ini, kerana tidak diberi peluang yang saksama, tidak dilayan dengan seadilnya, malah seringkali dituding jari dan dikambinghitamkan oleh politikus yang tidak bertanggungjawab. Mereka berhempas-pulas untuk membangunkan negara, tetapi layanan yang diterima tidak setimpal dengan apa yang disumbangkan.
Ketidakpuasan ini bertimbun, dengan harapan keadaan diperbaiki seandainya berlaku pertukaran kerajaan persekutuan. Sedar atau tidak, pembangkang masih menganggap undi Cina adalah “deposit tetap”, dan kadang-kala mengambil kesempatan ke atasnya. Pembangkang bimbang seandainya dijanjikan komitmennya untuk masyarakat Cina, ia akan diambil kesempatan oleh Umno-BN untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu.
Di celah-celah inilah munculnya suara untuk menyeru agar pengundi Cina membuang undi rosak dalam PRU14. Logiknya, jikalau nasib Cina tetap sama selepas kerajaan Umno-BN ditukar, untuk apa Cina menyokong HARAPAN? Lebih-lebih lagi, jikalau HARAPAN sanggup merangka agenda demi memenuhi keperluan Melayu semata-mata untuk memikat undinya, mengapa HARAPAN tidak melakukan benda yang sama untuk menarik undi Cina? Bukankah Cina juga rakyat yang berhak untuk menyuarakan keperluannya, dan dibela di bawah satu sistem demokrasi?
Demikianlah hujah yang sedang menular pengaruhnya di kalangan komuniti Cina. Barangkali tidak ramai Cina yang berpaling untuk mengundi MCA-Gerakan, namun apa yang lebih pasti, tidak kurang Cina yang enggan kembali dari jauh semata-mata untuk mengundi dalam PRU14. Tiada jaminan bahawa PAS atau BERSATU tidak akan mengkhianati mandat mereka, apatah lagi jikalau tiada juga agenda untuk memperbaiki nasib mereka?
Penurunan peratus mengundi adalah punca DAP kehilangan kerusi parlimen Teluk Intan. Jikalau dilihat suasana masyarakat Cina sekarang, memang ada wajarnya untuk meragui sejauh mana stamina sokongan pengundi Cina terhadap pembangkang bertahan. Sokongan pengundi Cina terhadap pembangkang pada paras 85 peratus barangkali kemuncak dalam sejarah, dan agak mustahil pembangkang memacu lagi dalam suasana sedia ada.
Sudah tentu ada yang akan membangkitkan, bahawa Cina bakal mengambil kesempatan untuk menuntut lebih apabila Melayu bergaduh sesama Melayu. Namun demikian, seandainya kita gagal keluar dari kerangka retorik sebegini, tidak sukar untuk kita ramalkan bahawa lebih Cina akan mengundi menggunakan kaki – meninggalkan tanah air – selepas ini. (tamat)
LIM HONG SIANG ialah bekas editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu dan penyunting buku Tsunami Cina: Retorik Atau Realiti?
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment