Dalam konvensyen Pakatan Harapan yang berlangsung di Ipoh, Perak kelmarin, Anwar Ibrahim mengumumkan yang dia akan berpindah kawasan dari Port Dickson ke Tambun.
Secara peribadi saya teruja dengan pengumuman tersebut. Namun, sebaik sahaja bahang keghiarahan mendengar pengumuman tersebut menyejuk, saya melakukan sedikit kira-kira terhadap peluang Anwar.
Kenapa Tambun?
Di atas kertas, Tambun boleh dikira sebagai kerusi sukar di Perak. Walaupun barangkali tidak sesukar kerusi Gerik atau Parit, tapi Tambun tetap sukar.
Ia merupakan kerusi majoriti Melayu (melebihi 65 peratus) dan dianggap kawasan separa bandar walaupun terletak tidak jauh dari ibu negeri Perak dan menempatkan Lost World of Tambun.
Kalau niat Anwar ingin merintis laluan untuk PH menembusi Perak, dia sebenarnya ada pilihan yang lebih selamat. Anwar mungkin boleh berkira-kira untuk mencuba nasib di Kuala Kangsar atau Padang Rengas.
Bahkan secara peribadi - dan jujur - saya merasakan peluang Anwar lebih cerah di Bagan Datuk berbanding di Tambun.
Benar, PH menang di situ pada 2018, tetapi konteks dan suasana ketika itu jauh berbeza dengan 2022.
Untuk menyamakan situasi Anwar ke Tambun dengan situasi Lim Kit Siang berpindah ke Iskandar Puteri (seperti dalam ucapan Anwar) pada 2013 juga tidak tepat kerana kerusi Iskandar Puteri mempunyai komposisi majoriti bukan Melayu.
Biarpun pada saat saat akhir DAP kononnya mahu menggunakan lambang PAS, tetapi saya tidak pernah sangsi dengan peluang Lim Kit Siang di Iskandar Puteri (atau nama lamanya: Gelang Patah).
Untuk menyedapkan hati, saya beranggapan kemungkinan besar Anwar melihat langkah sekarang sebagai Queen's Gambit presiden PKR itu. Mengambil risiko yang besar sambil pada masa sama mengharapkan laba yang juga besar.
Dari segi geografi, Tambun terletak berhampiran Ipoh Timur, Ipoh Barat dan Gopeng yang secara sejarahnya adalah kubu kuat PH. Kemungkinan besar kekuatan jentera di ketiga-tiga kawasan tersebut boleh digembleng untuk menghasilkan kemenangan di Tambun.
Sebagai sebuah negeri yang dikapit oleh Pulau Pinang dan Selangor, Perak seharusnya mendapat tempias ekonomi dan politik dari kedua-dua negeri kubu kuat PH tersebut.
Secara moral, saya bersetuju dengan kata-kata Anwar bahawa sebagai ketua/jeneral perang, dia tidak seharusnya memilih kerusi selamat. Pengorbanan Anwar ke kerusi berisiko diharapkan dapat menaikkan semangat juang anak buah PKR untuk berjaya pada PRU ke-15.
Adakah saya optimis dengan peluang Anwar di Tambun? Secara jujur, tidaklah sangat.
Harapan saya semoga pada 20 Nov 2022, perkiraan dan tulisan saya ini akan dibuktikan salah oleh warga pengundi Tambun.
Secara harafiahnya, Tambun membawa maksud tembam dan gemuk. Inilah padang yang akan menentukan sama ada Anwar cukup tambun (sebagai calon perdana menteri PH) untuk 'disembelih' atau sebaliknya PH bertambah 'tambun' untuk mendapatkan bilang mencukup bagi membentuk kerajaan persekutuan setelah mencipta sejarah sebagai kerajaan tak cukup penggal.
JUWAINI ABDUL RAHMAN
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment