SHAH ALAM – Sebanyak 5,000 rumah bakal terjejas sekiranya berlaku tanah runtuh di Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah (HSKBC), Shah Alam, yang ‘gondol’ akibat aktiviti pembersihan.
Lapor sebuah portal tempatan, risiko berlaku runtuhan semakin merisaukan apabila kawasan yang ‘digondolkan’ tersebut terletak berhampiran tiga lokasi takungan air iaitu Tasik Cermin dan dua lagi lokasi yang terletak berhampiran Persiaran Mokhtar Dahari dan Perdana Heights.
5,000 rumah itu melibatkan lapan kawasan perumahan di sekitar HSKBC antaranya seperti perumahan di Taman Sandaran Permai, Taman Bukit Sandaran, Puncak Perdana dan juga Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Selain itu, kedudukan kawasan yang dibersihkan seperti di Kompartmen 32 juga dibimbangi bakal menyebabkan kehilangan kestabilan tanah bagi perumahan di sekitar Bukit Bayu sekiranya berlaku tanah runtuh di lokasi yang dibersihkan itu.
Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah (HSKBC) tidak berhenti diancam pembersihan dan menerusi pewartaan terbaharu pada 5 Mei lalu, kawasan tersebut sudah 22 kali dinyahwarta sejak 1924.
Nyahwarta terbaharu yang membabitkan kawasan tersebut dipecahkan kepada lima lot dan ‘diagih-agih’ kepada pemilik-pemiliknya dikhuatiri akan terus `membotakkan’ HSKBC sebaik menerima ‘lampu hijau’ pihak berkuasa.
Keluasan HSKBC kali terakhir dilaporkan sebelum pewartaan nyahwarta terbaharu adalah sekitar 2,601.319 hektar, namun kini semakin mengecil dipercayai berbaki hanya 2,139 hektar.
Sumber | Samudera
No comments
Post a Comment