KOTA KINABALU: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menafikan dakwaan yang mereka akan keluar dari gabungan berkenaan untuk menyertai Warisan.
ADUN Pitas, Ruddy Awah berkata, dakwaan yang tular itu langsung tiada asasnya kerana beliau tidak pernah berhubung dengan sesiapa sejak beberapa hari ini.
Pembantu menteri sains, teknologi dan inovasi Sabah itu berkata, beliau akan tetap bersama dengan GRS dan menyokong penuh kepimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya (dakwaan keluar GRS) kerana tidak pernah pun saya berbincang mengenai perkara ini, tiba-tiba nama saya ada di situ.
“Saya tidak pernah ke Kota Kinabalu sejak beberapa hari ini, saya juga tidak berhubung dengan sesiapa.
“Ingin saya tegaskan di sini, saya tetap bersama GRS, Bersatu dan bersama Ketua Menteri Hajiji Noor, malah saya turut hadir pada program GRS di Kota Marudu dan Matunggong, baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, ADUN Kuamut Masiung Banah dalam satu kenyataan, hari ini, turut menafikan perkara itu dan menegaskan yang beliau kekal menyokong GRS.
“Saya tetap berpendirian teguh dan menyokong kepimpinan Hajiji selaku pengerusi GRS.
“Secara logiknya, macam mana saya keluar GRS sedangkan saya masih ADUN Bebas, saya tidak menyertai mana-mana parti dalam GRS, saya cuma anggota mesra GRS,” katanya.
Masiung yang juga pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berkata, isu berkenaan mungkin sengaja diviralkan oleh pihak tidak bertanggungjawab susulan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
“Saya hanya mengetahui perkara itu apabila pegawai komunikasi dan media saya, Yussof Imbang menghubungi saya lewat malam, semalam,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan tular di media sosial sejak semalam yang mengatakan empat lagi ADUN daripada GRS akan keluar dari gabungan itu bagi menyertai Warisan.
Selain Masiung dan Ruddy, turut dikaitkan akan keluar GRS ialah ADUN Kemabong Rubin Balang dan ADUN Nabawan Ghani Mohamed Yassin.
Khabar angin itu hadir sehari selepas ADUN Bandau Wetrom Bahanda mengumumkan keluar daripada Bersatu dan GRS untuk menyertai Warisan.
Terdahulu, Presiden Warisan Shafie Apdal berkata, beliau ada mendengar mengenai perkara itu namun enggan percaya dengan khabar angin yang belum diketahui kesahihannya.
“Itu yang saya dengar tapi, saya pun tidak tahu mengenainya. Kadang-kadang orang kata, jangan percaya dengan apa yang kamu dengar dan lihat kerana sebahagiannya mungkin tidak benar.
“Saya akan berkata sesuatu mengenainya bila tiba masanya,” katanya ketika ditemui pada program jelajah presiden dan pelancaran jentera pilihan raya Parlimen Putatan semalam, semalam.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment