NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terkini : Bubar Parlimen sedikit masa lagi - PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri mengulangi pendirian dan janjinya untuk segera berbincang dengan 'Top Five' UMNO berhubung pembubaran Parlimen.

Perdana Menteri berkata, berdasarkan semangat dan sokongan Pemuda Barisan Nasional (BN) hari ini, beliau akan berbincang dengan segera bersama Presiden dan Top Five.

"Hari ini di sini kelima-lima Top Five UMNO ada, maka kita akan bincang dalam tempoh terdekat pembubaran Parlimen ini.

"Kita sudah hampir ke Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), percayalah sikit masa lagi. Saya mendengar dengan jelas (gesaan pembubaran).

"Insya-Allah dalam waktu terdekat kita berjumpa dan berbincang. Apa yang penting apabila Parlimen dibubarkan dan diadakan pilihan raya, kita mesti menang dan mampu menguasai kerajaan kembali," katanya berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa di sini, hari ini.

Pengumuman itu mendapat sorakan hadirin yang melaungkan 'bubar, bubar, bubar' berserta tepukan gemuruh.

Lebih 10,380 Pemuda BN hadir pada majlis berkenaan yang turut dihadiri Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran serta Ketua Pemuda BN yang juga Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, sokongan dan semangat ahli BN terhadap parti akan memudahkan Top Five menentukan tarikh pembubaran Parlimen.

"Jelas kita lihat hari ini Pemuda BN bangkit semula dan saya percaya tiada sesiapa yang dapat menyekat kebangkitan ini menuju pilihan raya.

"Kalau semangat sebegini, maka lebih mudah nak menentukan tarikh...kalau sokongan macam ini," katanya.

Beliau turut mengingatkan Pemuda UMNO 'peperangan' pilihan raya kali ini berbeza dengan pilihan raya terdahulu.

"Peperangan kali ini tidak sama dengan peperangan seperti dulu, kita tidak lagi menggempur seperti dulu dan tidak mahu Pemuda hanya memasang bendera dan poster kerana peranan mereka lebih daripada itu," katanya.

Pemuda BN, katanya, tidak lagi tertumpu kepada perang menggunakan 'senjata fizikal', tetapi kini menumpukan kepada senjata maya.

"Perang maya lebih bahaya daripada fizikal, maka Pemuda perlu menguasai peperangan maya ini," katanya.

Beliau juga menggesa Pemuda BN bangkit menyerang dengan menjawab tuduhan di buat pihak pembangkang.

"Jangan biarkan pemimpin pembangkang menabur fitnah, membuat tuduhan. Menjadi tugas kita mematahkan serangan ini, jangan biar pembangkang berleluasa.

"Pada pilihan raya lalu, kita kalah kerana tidak mampu memberikan jawapan dan tidak menjawab isu besar dimainkan pembangkang menyebabkan mereka memfitnah pemimpin BN dan kerana gagal menjawab, kita menerima padah dan kesannya adalah besar," katanya.

Beliau berkata, Pemuda perlu mendekati pengundi muda kerana pertambahan golongan itu meningkat mendadak daripada 14.9 juta kepada 22.7 juta untuk PRU-15.

"Pengundi muda berusia 21 tahun ke bawah meningkat kepada 4 juta orang, maka golongan ini perlu didekati di sekolah dan di universiti," katanya.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo