KUALA LUMPUR: Sebuah Sekolah Amanah Malaysia telah dicalonkan sebagai finalis 3 Teratas bagi 'World’s Best School Prizes' (Anugerah Sekolah Terbaik Dunia) yang dilancarkan pada tahun ini oleh T4 Education dengan kerjasama Yayasan Hasanah, Accenture dan American Express.
Sekolah Kebangsaan (SK) Kempadang, Kuantan, yang mencipta sistem penyelesaian digital sepenuhnya bagi mengesan kemajuan murid, adalah finalis 3 Teratas World’s Best School Prizes bagi kategori Inovasi.
Sekolah berkenaan bukan sahaja berhadapan dengan cabaran meneruskan pengajaran dan mengesan kemajuan murid semasa pandemik, malah keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia memansuhkan ujian penilaian sekolah rendah, UPSR yang digantikan dengan pentaksiran berasaskan sekolah telah menyebabkan sekolah ini tidak dapat mengakses data sebenar pembelajaran murid yang boleh menentukan rancangan pengajaran untuk menyokong semua murid.
Penyelesaian berinovasi sekolah ini adalah SMARTZOOM, satu sistem penyelesaian digital sepenuhnya yang mengesan kemajuan pembelajaran murid.
SMARTZOOM menggunakan input data daripada Google Sheets dan Google Chrome kerana semua guru di Malaysia mempunyai akaun Google khusus yang dihubungkan dengan Kementerian Pendidikan.
"Kecemerlangan Sekolah Amanah Malaysia ini akan menjadi inspirasi kepada para pendidik di seluruh dunia. Ia adalah bukti berterusan bahawa, sekolah awam kita juga mampu menjadi antara yang terbaik di dunia.
“Kami berbesar hati bekerjasama dengan T4 Education dalam menyokong penganjuran anugerah ini, yang mengiktiraf dan menggalakkan transformasi ‘bawah-ke-atas’ dan mewujudkan komuniti global yang belajar daripada satu sama lain serta mencipta gelombang impak positif terhadap murid di seluruh dunia," kata Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Datuk Shahira Ahmed Bazari.
Finalis 3 Teratas bagi setiap kategori World’s Best School Prizes kini akan memasuki peringkat undian awam.
Orang ramai diberikan masa sehingga 2 Oktober untuk mengundi pemenang di pautan worldsbestschool.org.
Pemenang akan diumumkan pada 19 Oktober depan.
Sumber I Astro Awani
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment