1. Artikel yang ditulis baru-baru ini oleh Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, tentang "Hapuskan Pemberi Rasuah', benar-benar membuatkan golongan pemberi rasuah seperti cacing kepanasan. Seperti yang dijangkakan, bukan sahaja golongan pemberi rasuah tersebut yang kepanasan, PH yang dikelilingi oleh golongan pemberi rasuah turut menerima bahang yang sama. Oleh sebab itu, pemimpin DAP yang paling awal menyerang tulisan Presiden PAS tersebut diikuti oleh juak-juak mereka.
2. Secara jelas tulisan Presiden PAS tersebut menyebut, golongan pemberi rasuah ini majoritinya bukan bumiputera. Sememangnya umum mengetahui pemberi rasuah lazimnya adalah dari golongan kaya dan saudagar perniagaan, atau istilah yang biasa digunakan ialah 'tauke'. Golongan kaya dan saudagar perniagaan ini majoritinya adalah bukan bumiputera. Bagaimanapun, bukanlah bermaksud semua golongan kaya dan saudagar perniagaan terlibat, sebaliknya segelintir dari mereka yang melakukannya.
3. Seperti biasa, PH khususnya DAP akan memainkan isu ini menggunakan sentimen perkauman. Mereka mendakwa Presiden PAS menuduh majoriti bukan bumiputera adalah pemberi rasuah, dengan tujuan menjarakkan masyarakat bukan bumiputera dari PAS. Ada perbezaan yang ketara antara ayat yang digunakan oleh Presiden PAS "majoriti pemberi rasuah adalah bukan bumiputera" dengan naratif yang dimainkan oleh DAP "majoriti bukan bumiputera adalah pemberi rasuah".
4. Rasuah (bribery) adalah sebahagian dari korupsi, iaitu melibatkan pemberian hadiah tertentu termasuklah wang kepada pihak yang ada kuasa yang lazimnya anggota pentadbiran dan pegawai kerajaan. Sebagai pulangan, pemberi hadiah tersebut mendapat habuan dari segi tidak diambil tindakan penguatkuasaan atau memperolehi keistimewaan membolot projek atau lain-lain habuan seumpamanya. Selain dari rasuah, amalan lain yang termasuk dalam korupsi ialah salahguna kuasa, kronisme dan nepotisme.
5. Sebahagian besar rasuah di Malaysia sangat berkait rapat dengan Industri Maksiat (Sin Industry) yang melibatkan kegiatan perjudian sama ada berlesen atau tidak berlesen, pusat-pusat hiburan seperti kelab malam, agen-agen pinjaman riba (Along) dan seumpamanya. Industri Maksiat ini pula bergantung rapat dengan kegiatan Ekonomi Gelap (Black Economy) yang meliputi kegiatan haram seperti penyeludupan, pengedaran dadah, pelacuran, pemerdagangan manusia, gangsterisme (triad) dan lain-lain.
6. Menurut Laporan Bank Dunia tahun 2019, kegiatan Ekonomi Gelap di Malaysia dari segi saiz dagangannya adalah 26.1% daripada Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK). Anggaran yang pernah dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, jumlah dagangannya mencecah RM 300 billion setahun, itupun mengambil kira saiz dagangannya adalah 21% dari KDNK bukannya 26.1%. Persoalan besar yang timbul, bagaimana kegiatan Ekonomi Gelap ini tidak boleh dikesan (boleh lari daripada membayar cukai).
7. Mereka yang terlibat dengan Ekonomi Gelap ini biasanya mempunyai proksi-proksi perniagaan untuk menyimpan dana mereka di dalam bank-bank tempatan atau bank-bank persisir. Tidak mungkin dana yang jumlahnya mencecah RM 300 billion itu hanya disimpan di bawah tilam atau bantal. Kegiatan seperti ini berkait rapat pula dengan sindiket penggubahan wang haram (money laundering). Jadi, tauke yang terlibat dengan Industri Maksiat dan Ekonomi Gelap inilah yang banyak terlibat dengan pemberian rasuah.
8. Di zaman Perdana Menteri ke-4, Dr Mahathir Mohamad, pemilik Industri Maksiat dan Ekonomi Gelap banyak menghimpit golongan yang berkuasa ketika itu. Selepas Dr Mahathir meletakkan jawatan golongan ini cuba menghimpit pihak berkuasa di zaman Pak Lah. Bagaimanapun bila Pak Lah memperkenalkan Islam Hadhari dan seterusnya menegaskan bahawa Malaysia adalah Negara Islam, harapan golongan ini mula pudar lalu mencari 'Tuan Baru' dari kalangan parti-parti politik bukan bumiputera.
9. Pada tahun 2015 kerajaan telah mengisytiharkan pelaksanaan GST yang merupakan ancaman kepada pemain-pemain Industri Dosa dan Ekonomi Gelap. Meskipun ada segelintir berpandangan GST masih tidak mampu mengekang kegiatan Industri Dosa dan Ekonomi Gelap, secara teorinya GST boleh menjejak kegiatan pemain Industri Dosa dan Ekonomi Gelap ini. Tindakan kerajaan melaksanakan GST mendorong pemain-pemain Industri Dosa dan Ekonomi Gelap mengalihkan sokongannya kepada pembangkang.
10. Pada tahun 2016, Presiden PAS telah berusaha untuk membawa usul persendirian RUU 355. Ramai pihak termasuk para ulama tidak menyedari, RUU 355 ini adalah mimpi ngeri yang sangat ditakuti oleh pemain-pemain Industri Dosa dan Ekonomi Gelap. Sebenarnya, pemerkasaan Hukum Jenayah Syariah dan Mahkamah Syariah lebih dibimbangi oleh golongan ini dari pelaksanaan GST. Pindaan RUU 355 ini adalah pengekang pelanggan-pelanggan Industri Dosa dan dan Ekonomi Gelap khususnya orang Islam dari terlibat.
11. Sekiranya Hukum Syariah didaulatkan dan Mahkamah Syariah diperkasakan kegiatan Industri Dosa dan Ekonomi Gelap boleh lumpuh disebabkan kehilangan pelanggan-pelanggan. Mahu tidak mahu, bagi pemain Industri Dosa dan Ekonomi Gelap usul untuk meminda RUU 355 mesti dihalang. Bagi menghalang pindaan RUU 355 ini, mereka bertenggek kepada parti-parti politik tertentu untuk menentang langkah yang diambil oleh PAS dengan menggunakan pelbagai alasan termasuklah alasan perkauman.
12. Jelas sekali pemain-pemain Industri Dosa dan Ekonomi Gelap ini amat memusuhi PAS. Bagaimanapun, mereka tidak berani untuk menonjolkan diri mereka di khalayak umum untuk berpolitik melawan PAS. Untuk menentang PAS dalam arena politik, mereka mengelilingi musuh politik utama PAS iaitu PH. Pemain-pemain Industri Dosa dan Ekonomi Gelap inilah yang ramainya tergolong sebagai pemberi rasuah. Apabila Presiden PAS menyerang mereka, PH yang dikelilingi oleh mereka pun jadi kepanasan.
No comments
Post a Comment