NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pertahan usaha bina identiti Keluarga Malaysia - Ismail Sabri

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berucap ketika Sambutan Hari Malaysia peringkat Kebangsaan yang diadakan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Bandar Hilir, Melaka. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

MELAKA: Proses membina Keluarga Malaysia yang bersatu padu dan memiliki satu identiti nasional perlu terus dipertahan, demi menjamin kelangsungan kedaulatan negara bangsa, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, ini kerana proses menyatupadukan pelbagai negeri dengan latar belakang demografi yang rencam dan berbeza, selain faktor geografi dan Laut China Selatan yang menjadi pemisah bukanlah satu tugas mudah.

Beliau juga mengingatkan Keluarga Malaysia cabaran dan ancaman dihadapi negara semakin besar serta bertambah kompleks seiring pertambahan usia pembentukan Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, melakukan gimik perasmian Sambutan Hari Malaysia peringkat Kebangsaan yang diadakan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Bandar Hilir, Melaka. Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan (kiri), Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (tiga, kiri) dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (kanan). NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI


Ismail Sabri Yaakob, menandatangani buku watikah pengistiharaan Sambutan Hari Malaysia peringkat Kebangsaan yang diadakan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Bandar Hilir, Melaka. Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan (kiri),


"Persekutuan Tanah Melayu lahir sebagai negara merdeka dan berdaulat pada 31 Ogos 1957, kemudian pembentukan Malaysia pada tarikh keramat 16 September 1963, adalah bukti penyatuan niat dan tekad kesungguhan, pejuang bangsa terdahulu. Mereka berjuang bersandarkan satu iltizam. 

"Nama seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Mohammad Fuad Stephens, Tun Datu Mustapha Datu Harun, Tun Abang Haji Openg Abang Sapiee, Tun Jugah Anak Barieng, dan Tan Sri Abang Abu Bakar Abang Mustapha, adalah antara tokoh yang menoktahkan rundingan penubuhan Malaysia. Mereka inilah antara pejuang yang mewariskan kita nikmat kemakmuran. 

"Musuh yang memecahbelahkan hadir berbentuk ekonomi, politik, sosial selain anasir luar giat berusaha menggugat kestabilan serta ketenteraman bangsa dan negara. 

"Jika anasir ini dibiar berleluasa dan akhirnya memuncak ia dibimbangi akan menjadi ancaman kritikal yang boleh mengancam perpaduan Keluarga Malaysia. Laksana bara yang mula menyalakan puntung, menyalakan unggun, jika tidak segera dibendung akan menyemarakkan api permusuhan, mencetuskan perselisihan kaum dan agama yang boleh melemahkan Keluarga Malaysia seterusnya memusnahkan negara," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Malaysia 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Yang di-Pertua Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali; Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan. 

Ismail Sabri berkata, memupuk perpaduan Keluarga Malaysia terdiri pelbagai latar belakang agama, kaum, budaya serta taraf sosioekonomi adalah agenda besar dan penting bagi kerajaan demi kelangsungan negara yang aman, stabil, harmoni dan sejahtera. 

Katanya, nilai berteraskan 'Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran' adalah ramuan penting dalam usaha membina kekuatan seluruh Keluarga Malaysia supaya terus teguh bersatu, kukuh berpadu serta kalis cabaran menghadapi gelombang serta arus globalisasi. 

Beliau berkata, nilai berkenaan antara jaminan kepada kelangsungan untuk Malaysia terus kekal sebagai negara aman, stabil, harmoni dan sejahtera.

"Bersendikan konsep tasamuh (hidup saling bertoleransi, harmoni dan selesa, menjauhi diri dari sifat prasangka serta curiga) digariskan Islam, segala perbezaan dan kepelbagaian dikurniakan Tuhan di bumi bertuah ini mampu dirai dan dihargai Keluarga Malaysia dengan hati terbuka. 

"Malaysia dibentuk dan dibangunkan dengan memberi jaminan keadilan, perlindungan dan hak kepada setiap Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. 

"Semua ahli Keluarga Malaysia bebas mengamalkan budaya warisan bangsa, menguasai pelbagai bahasa serta menganut agama dianuti daripada leluhur masing-masing," katanya. 

Sementara itu, Perdana Menteri turut mengulangi jaminan kerajaan memberi perhatian kepada isu berkaitan kepentingan Sabah dan Sarawak, seperti dinyatakan pada sambutan Hari Malaysia tahun lalu. 

Katanya, kerajaan serius mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia, selain menjelaskan ia dibuktikan menerusi Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan MA63 yang diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Dewan Rakyat, pada 14 Disember 2021. 

Beliau berkata, usaha itu selaras agenda transformasi untuk mengembalikan keyakinan rakyat, termasuk pelabur asing terhadap kemampuan kerajaan, demi memastikan kestabilan politik dan dasar negara ke arah pembangunan sosioekonomi mampan. 

"Sebagai Pengerusi Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963, saya akan memastikan hak bagi Sabah dan Sarawak seperti mana yang terkandung dalam perjanjian MA63 adalah terpelihara.

"Majlis Khas ini bukan sahaja berperanan merungkai beberapa isu tertangguh berhubung hak serta kedudukan Sabah dan Sarawak, tetapi juga memberi penekanan kepada usaha membangun dan memajukan kedua-dua negeri ini.

"Umpama peribahasa bersukat sama paras, bertimbang sama berat, kerajaan mahu melihat Sabah dan Sarawak bersama-sama menikmati pembangunan pesat, seperti negeri lain di Semenanjung. 

"Kerajaan juga komited menghapuskan jurang pembangunan dan ini dibuktikan dengan peruntukan RM5.6 bilion untuk Sabah, manakala RM4 bilion untuk Sarawak tahun ini bagi melaksanakan projek pembangunan seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya serta kemudahan pendidikan dan kesihatan," katanya.

Mengimbau lipatan sejarah negara, Perdana Menteri berkata, pemilihan Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan signifikan bagi kemerdekaan dan pembentukan Malaysia, selain mengakui sambutan tahun ini julung kali diadakan di luar Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, Bandar Hilir Melaka pernah menjadi saksi laungan pengisytiharan Kemerdekaan pada 20 Februari 1956, selain menyaksikan turunnya Bendera Union Jack, tepat jam 6.30 petang, pada 30 Ogos 1957. 

Katanya, catatan sejarah menjadi saksi pengisytiharan itu bagaikan penyembuh duka bangsa selepas Melaka dicengkam penjajah lebih 400 tahun.

"Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj julung kali menyuarakan hasrat penubuhan Malaysia ketika Persidangan Wartawan-wartawan Luar Negeri di Asia Tenggara di Hotel Adelphi, Singapura, pada 27 Mei 1961.

"Sejarah panjang menyaksikan bukan mudah untuk membentuk Malaysia. Membina pasak persefahaman dan mencari muafakat persetujuan negeri-negeri Melayu, Sabah dan Sarawak termasuklah Singapura.

"Proses pungutan suara dan rundingan sangat getir dan berlangsung panjang, menagih pengertian serta kesabaran pejuang. Segala cabaran membuktikan tiada jalan pintas dalam melahirkan negara bangsa berasaskan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. 

"Rintangan ketika itu bersifat dalaman dan luaran, termasuk pemberontakan komunis, konfrontasi menentang penubuhan Malaysia, rusuhan kaum, cabaran ekonomi, kerencaman agama, kaum, budaya dan bahasa. 

"Pun begitu, biar seribu halangan merintangi, Alhamdulillah setiap satu yang keruh, berjaya dijernihkan dengan kesungguhan dan kebijaksanaan oleh pejuang terdahulu," katanya. 

Perdana Menteri berkata, sebagai negara berbilang kaum dan agama, Hari Malaysia perlu menjadi sambutan yang mengingatkan seluruh Keluarga Malaysia mengenai kekuatan muafakat dan kesepaduan sosial berteraskan integrasi nasional. 

"Sesungguhnya, sejarah perjalanan bumi bertuah ini penuh dengan lembaran berwarna-warni. Sebagai tanah pernah dijajah, hari ini Malaysia berdiri utuh sebagai negara yang aman, makmur, merdeka dan berdaulat di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong sebagai Payung Perpaduan.

"Tanggal keramat 16 September wajar dijadikan titik tolak memperhebatkan azam dan menyemarakkan semangat mencari persamaan. Berpijak di bumi sama, Keluarga Malaysia perlu terus berdiri menjunjung langit sama, menghayati semangat kesetiaan kepada raja dan negara. 

"Marilah kita sama-sama berdoa semoga bumi berdaulat ini sentiasa dalam limpah rahmat Ilahi, keamanan dan kemakmuran dan semoga hubungan harmoni terus terjalin dalam semangat Keluarga Malaysia," katanya.


Sumber | BH Online




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo