NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pelajar politeknik, kolej komuniti dapat peluang jalani latihan industri di Qatar

Kumpulan pelajar terbabit berangkat ke Doha secara berperingkat bermula 22 hingga 27 September.

KUALA LUMPUR: Seramai 35 pelajar bidang hospitaliti politeknik dan kolej komuniti di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) bakal menjalani latihan industri di Holiday Villa Doha, Qatar bermula Oktober sehingga Disember 2022.
Jurucakap Unit Komunikasi dan Hubungan Korporat Kolej Komuniti Selayang, dalam satu kenyataan hari ini berkata, penempatan mereka di Qatar juga bersempena penganjuran Piala Dunia 2022 pada November depan.
"Program latihan industri di politeknik dan kolej komuniti adalah satu syarat bagi setiap pelajar untuk melayakkan mereka dianugerahkan sijil dan diploma bagi program pengajian.
"Para pelajar diberi peluang untuk memilih tempat latihan industri bagi mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari sepanjang tempoh pengajian.
"Kerjasama kolaborasi strategik JPPKK yang terjalin bersama industri membolehkan pelajar diberi peluang keemasan dalam menjalani latihan industri di peringkat antarabangsa di bawah rangkaian syarikat Holiday Villa Hotels & Resorts di Doha," katanya.
Katanya, kumpulan itu terdiri daripada 16 pelajar Sijil Pastri, Kulinari dan Operasi Perhotelan dari Kolej Komuniti Selayang; Diploma Pengurusan Hotel dari Politeknik METro Kuala Lumpur (lima); Sijil Seni Kulinari dari Langkawi Tourism Academy-Kolej Komuniti (lima); Sijil Kulinari dan Operasi Perhotelan Kolej Komuniti Chenderoh (tiga).
Diploma Pengurusan Resort Politeknik Kota Kinabalu dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (empat); dan alumni Sijil Kulinari Kolej Komuniti Sungai Petani (empat).
Mengulas lanjut, katanya latihan industri itu membolehkan pelajar mendapat pengalaman lebih luas di samping melahirkan graduan yang kompeten dan berdaya saing.
Katanya, pelajar juga berpeluang mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi di negara luar dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara di masa akan datang.
Beliau berkata, pelajar terbabit berangkat ke Doha secara berperingkat bermula 22 hingga 27 September.
Sementara itu, pelajar Program Kulinari, Kolej Komuniti Selayang, Anis Aliyana Farhah Yusairi Amit, menyifatkan peluang berkenaan sebagai sekali seumur hidup dan akan menggunakan pengalaman itu untuk membina kerjaya pada peringkat yang lebih tinggi.
“Saya sangat gembira kerana ini merupakan cita-cita saya dan saya berharap saya dapat kekalkan momentum dalam berkhidmat dari hari pertama sehingga habis," katanya.
Rakannya, Muhammad Shah Hazimi Azlan Shah, pelajar Program Operasi Perhotelan Kolej Komuniti Selayang, berkata tidak akan mensia-siakan peluang berkenaan.
"Saya akan mencari seberapa banyak pengalaman supaya saya dapat mencipta kerjaya dalam bidang perhotelan di masa hadapan,” katanya.

Sumber | Astro Awani






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo