NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hari Malaysia: Malam bersejarah buat gandingan anak, bapa bawa beca

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadiri sambutan Hari Malaysia 2022 dengan menaiki beca di Dataran Memorial Pengisytiharaan Kemerdekaan A' Famosa Banda Hilir malam ini. - Foto BERNAMA

MELAKA: Meskipun berpengalaman membawa pelbagai kenamaan termasuk pemimpin tertinggi negara sebelum ini, pengayuh beca veteran Rosli Mad Zin, 63, menganggap kayuhannya pada sambutan Hari Malaysia 2022 malam ini lebih istimewa dan mengujakan.
Ini kerana kayuhannya membawa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dari Hotel Hatten ke Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan sejauh lebih 600 meter menggunakan beca tradisional yang menjadi identiti Melaka itu bergandingan dengan anaknya, Maslizuwan, 29.

Dia berkata inilah pertama kali mereka bergandingan membawa pemimpin negara pada majlis sama serta penuh bersejarah dan lebih istimewa, Rosli diberi tanggungjawab mengetuai 15 beca tradisional yang membawa kenamaan lain.

"Walaupun kayuhan itu hanya kira-kira 600 meter namun ia sangat bermakna dan saya amat teruja diberi peluang untuk sama-sama terlibat dalam hari bersejarah negara. Pengalaman malam ini amat berbeza meskipun sebelum ini saya sudah banyak kali membawa pemimpin negara sepanjang 30 tahun mengayuh beca.
"Disebabkan rasa teruja ini juga, saya turut mengenakan pakaian era 60-an iaitu berkemeja kotak dan pagoda putih, seluar slek dan berkasut capal seperti konsep sambutan malam ini. Terasa seolah-olah berada pada zaman itu," katanya kepada Bernama.
Maslizuwan pula tidak menyangka selepas 10 tahun mengerah kudrat mencari rezeki dengan membawa beca sekitar Banda Hilir akhirnya dia berpeluang membawa isteri Ketua Menteri Melaka Datin Seri Munira M.Yusop menggunakan beca tradisional berusia lebih 30 tahun milik ayahnya.
"Saya rasa bangga dan bertuah kerana diberi peluang bersama ayah membawa pemimpin tertinggi negara pada hari bersejarah yang julung kali diadakan di Melaka.
"Memang agak gementar namun atas nasihat dan tunjuk ajar ayah yang berpengalaman membawa golongan ternama sebelum ini, sedikit sebanyak memberi semangat dan keyakinan kepada saya," katanya yang turut mengenakan kemeja T pagoda putih, berseluar slek serta bercapal.
Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, kenamaan utama majlis sambutan itu, menaiki beca elektrik (e-Beca) yang merupakan produk inovasi penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
e-Beca, yang menggunakan tenaga solar, dihiasi bumbung berkonsepkan Istana Melaka, kerlipan lampu berwarna-warni dan mengekalkan warna klasik bagi menonjolkan identiti beca tradisional Melaka.
Beca elektrik yang membawa Mohd Ali dikayuh oleh ahli Kumpulan e-Beca UTeM, yang juga Penolong Jurutera UTeM Mohd Fadhil Ibrahim.
-- BERNAMA





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo