Johor Bahru: Kakitangan Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Selatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan membuat tuntutan palsu kerja lebih masa dan elaun perjalanan membabitkan jumlah RM670.51, dua tahun lalu.
Tertuduh, Hazreen Mohd, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas sebagai Pembantu Laut Gred A22 (memangku) itu didakwa dengan niat memperdayakan majikannya dengan satu dokumen tuntutan bayaran lebih masa bagi April 2020 berjumlah RM359.41.
Manakala, bagi pertuduhan kedua, bapa kepada tiga anak itu didakwa melakukan perkara sama membabitkan Borang Tuntutan Elaun Perjalanan Dalam Negeri bagi April 2020 berjumlah RM311.10 untuk perjalanan tugasan rasmi ke rumah api antara 2 April 2020 hingga 30 April 2020.
Tertuduh didakwa percaya terdapat butiran matan palsu ketika membuat tuntutan lebih masa dan elaun perjalanan bagi Tugasan Penjagaan Rumah Api Bukit Segenting, Batu Pahat (Pemantauan Pembersihan dan Kawalan Keselamatan) sedangkan dia tidak melaksanakan tugasan itu sekali gus untuk mengelirukan majikannya.
Bagi perbuatan yang dilakukan di Pejabat Laut Batu Pahat pada Mei 2020 itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama.
Tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai yang terbabit atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Ihsan Jalaludin memaklumkan kesalahan di bawah seksyen berkenaan tidak boleh dijamin namun mencadangkan jumlah RM10,000 sekiranya mahkamah membenarkan ikat jamin.
Namun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jumlah berkenaan dengan alasan dia akan digantung tugas mulai hari ini dengan menerima separuh gaji saja.
"Saya juga menyara isteri yang tidak bekerja dan tiga anak yang mana dua masih bersekolah serta seorang masih kecil.
"Bapa saya juga baru meninggal dunia pada Mei lalu dan kini saya menanggung beban hutangnya, selain saya masih tinggal bersama ibu kerana emosinya terganggu kini," katanya yang bertugas di jabatan itu selama sembilan tahun.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 29 September depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
No comments
Post a Comment