Hermono berkata, tindakan memberi tekanan untuk menutup kes dilihat sebagai menghalang pelaksanaan undang-undang di negara ini. - Gambar fail/KBRI Kuala Lumpur |
KUALA LUMPUR: Kedutaan Indonesia menggesa Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan mendedahkan butiran individu yang memberi tekanan untuk menutup kes penderaan seorang pembantu rumah warga republik itu, baru-baru ini.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, tindakan pihak yang terbabit dilihat sebagai cubaan menghalang pelaksanaan undang-undang di negara ini.
Katanya, pendedahan itu perlu supaya dapat memberi amaran jelas dan tegas kepada mana-mana pihak yang cuba mencampuri urusan perundangan.
"Saya ada terbaca dalam media bahawa Menteri Sumber Manusia mendapat tekanan agar kes ini ditutup, kalau benar wujud tekanan untuk tutup kes, perkara itu harus didedahkan... (dedahkan) siapa pihak yang bertanggungjawab.
"Ini sudah kira menghalang pelaksanaan proses undang-undang di negara ini," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI di Kedutaaan Indonesia di sini, pada Khamis.
Hermono menambah, kedutaan dan kerajaan Indonesia memantau rapat kes berkenaan dan berharap agar keadilan bagi mangsa dapat ditegakkan.
Jumaat lalu, Astro AWANI mendedahkan seorang pembantu rumah melarikan diri dari rumah majikan di Batu Caves setelah tidak tahan dengan penderaan yang dialaminya sejak tiga tahun lalu termasuk disimbah air panas.
Susulan itu, seorang pegawai polis dan isterinya didakwa di Mahkamah Sesyen Klang, dekat sini atas tuduhan memperdagangkan pembantu rumah bagi tujuan eksploitasi kerja paksa sehingga menyebabkan kecederaan parah.
Dalam pada itu, Malaysiakini yang memetik 'sumber dalam kerajaan' pada Isnin lalu melaporkan, Kementerian Sumber Manusia menerima tekanan daripada pihak tertentu termasuk organisasi politik dan korporat, untuk menutup kes berkenaan.
Saravanan yang mengulas perkara berkenaan, ketika itu, mengesahkan kementeriannya menerima beberapa panggilan telefon berhubung kes terbabit, dan memberi jaminan akan mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.
Sumber | Astro Awani
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment