Seramai 29,103 anggota JBPM dari pelbagai peringkat telah bersedia termasuk lebih 2,000 aset darat, udara dan marin. - Gambar fail |
PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dalam persiapan menghadapi banjir, baik di peringkat pra, sewaktu dan pasca bencana itu.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, setakat ini, seramai 29,103 anggota JBPM dari pelbagai peringkat telah bersedia termasuk lebih 2,000 aset darat, udara dan marin.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Kepala Batas itu berkata, kementeriannya dan JBPM akan memastikan operasi menyelamat kali ini lebih efektif dengan mengambil kira pengalaman yang dialami sewaktu banjir luar biasa yang melanda negara pada penghujung 2021.
“Secara ringkas, bomba berada pada tahap kesiap siagaan amat tinggi, malahan dari segi penjajaran tugasan, syif, penyediaan bekalan makanan untuk mereka, untuk keluarga mereka dan sebagainya. “Kalau keluarga mereka terkesan dengan banjir (sebelum ini) ada ahli bomba yang rumah mereka pun dinaiki banjir. Kalau nak bertugas pun mereka mungkin psychologically affected (kesan psikologi), kalau (perkara itu) berlaku juga telah diambil kira dalam proses buat persiapan,” kata Reezal.
Reezal Merican berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), di sini, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada awal bulan ini telah mempengerusikan mesyuarat bersama pelbagai kementerian dan agensi bagi menyelaras persiapan menghadapi banjir susulan fenomena Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku hujung tahun ini.
Ismail Sabri seperti dilaporkan media berkata, beliau tidak mahu peristiwa banjir pada hujung tahun lalu berulang sehinggakan sesetengah negeri tidak bersedia berbanding yang lain.
Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga berharap agar JBPM dapat menyediakan permohonan perolehan bagi memastikan aset yang lebih canggih dan berkesan dapat digunakan.
“Kena buat perolehan (terutamanya) untuk peralatan remote live buoy. Ia datang dengan harga sedikit tinggi, tetapi boleh dikawal secara remote dan boleh tampung beban sehingga 200kg, boleh selamatkan mangsa nak diselamatkan, jauh lebih awal.
“Life buoy ini telah digunakan di negara-negara lain. Dan saya minta dibekalkan, setiap negeri (sekurang-kurangnya ada dua). Sebab dari segi aset, boleh bawa dan tukar, dari kawasan tak banjir kepada kawasan banjir,” katanya lagi.
Sumber | Astro Awani
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment