Rina berkata, JKM juga sudah melakukan simulasi banjir bersama pelbagai agensi berkaitan dengan 10,000 sukarelawan bersiap sedia untuk bertugas. - Gambar fail/ Shahir Omar |
KUALA LUMPUR: Pek makanan sedia untuk dimakan menggunakan teknologi retort akan dibekalkan ke kawasan yang jauh dan sukar diakses bagi menghadapi musim tengkujuh ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Teknologi retort adalah teknologi baharu pembungkusan makanan yang membolehkan makanan tahan lebih lama sehingga 18 ke 24 bulan.
"Makanan retort tidak akan basah walaupun terkena hujan berbanding makanan dimasak yang dibekalkan kepada mangsa banjir sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM di sini hari ini.
Beliau berkata sebagai persiapan menghadapi banjir, barangan keperluan seperti makanan kering, air mineral, lampin pakai buang kanak-kanak dan dewasa, tuala wanita serta tuala mandi telah dihantar ke depoh mini banjir di seluruh negara bagi memastikan proses penghantaran kepada mangsa lancar dan pantas.
Katanya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah melakukan simulasi banjir bersama pelbagai agensi berkaitan dengan 10,000 sukarelawan bersiap sedia untuk bertugas.
Rina turut mengingatkan masyarakat supaya mengambil perhatian serius apabila pihak berkuasa mengeluarkan sebarang amaran mengenai bencana banjir.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.
Sementara itu, Rina berkata seramai 52,410 wanita telah dibantu untuk menjana pendapatan menerusi program Wanita Bangkit@KPWKM dari Sept 2021 hingga kini.
Menurutnya antara bantuan yang diterima peserta adalah peluang keusahawanan, menjalankan perniagaan kecil, mendapat tawaran pekerjaan, kursus dan bimbingan permulaan perniagaan melalui kolaborasi strategik bersama pelbagai jabatan, agensi dan syarikat korporat.
Program Wanita Bangkit@KPWKM merupakan inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam membantu wanita B40 terutamanya ibu tunggal yang hilang pendapatan dan suri rumah berhadapan dengan masalah suami kehilangan pekerjaan ekoran pandemik COVID-19.
-- BERNAMA
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment