NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Apa berlaku selepas Ratu Elizabeth II mangkat?

Ratu Elizabeth telah menduduki takhta diraja sejak tahun 1952, tempoh paling panjang pernah direkodkan dalam mana-mana sistem monarki British. -Gambar fail/AP

OPERASI London Bridge ialah nama kod untuk perancangan yang akan dilakukan dalam beberapa minggu atau bulan selepas kemangkatan Ratu Elizabeth II.
Ratu Elizabeth telah menduduki takhta diraja sejak tahun 1952, tempoh paling panjang pernah direkodkan dalam mana-mana sistem monarki British.

Sepanjang tempoh itu, baginda telah melangkaui belasan Perdana Menteri, hampir 20 acara Olimpik dan hampir 10 Pope.

Ratu Elizabeth juga menjadi 'batu asas' Komanwel , pengasas hampir 600 organisasi dan badan kebajikan, serta memainkan peranan penting dalam pakatan United Kingdom (UK) dengan banyak negara.
Jadi, pemergian Ratu Elizabeth akan membawa banyak perubahan, bukan sahaja kepada UK, tetapi juga kepada dunia.
Operasi London Bridge
Pada hari kemangkatan Ratu Elizabeth, Setiausaha Sulitnya, Edward Young dengan segera akan memberikan mesej berkenaan kepada Perdana Menteri.
Mesej itu akan tertera "London Bridge is down".
Perdana Menteri kemudian akan mengatur rancangan Operasi London Bridge.
Dalam masa beberapa minit sahaja, 15 kerajaan di luar UK dengan Ratu Elizabeth sebagai ketua negeri akan dimaklumkan dengan penuh teliti.
Ia kemudian diikuti dengan makluman kepada 36 negara dan pemimpin Komanwel lain seluruh dunia.
Pintu Pagar utama Istana Buckingham akan dipaparkan notis kemangkatan Ratu dengan logo berwarna hitam.
Dalam masa sama, berita kemangkatan itu akan disebarkan kepada pihak media untuk dilaporkan kepada negara seluruh dunia.
Setiap media akan bersedia dengan berita itu dan setiap stesen radio mempunyai rangkaian untuk menyebar pemberitahuan mengenai tragedi negara iaitu kemangkatan Ratu Elizabeth.
Semua berita lain di BBC akan dihentikan sementara, untuk memberi laluan kepada berita kemangkatan Ratu.
Pembaca berita akan menukar pakaian mereka kepada sut hitam dan warna tema BBC Newsyang asalnya merah akan bertukar kepada warna hitam.
Surat khabar, saluran televisyen dan stesen radio akan bersedia untuk membuat liputan selama tempoh bermulanya kemangkatan.
Pada hari kemangkatan, Putera sulung Ratu, Putera Charles akan segera diangkat sebagai Raja.
Pada ketika itu juga, premis perniagaan dan urus niaga saham akan ditutup bagi memberi penghormatan.
Hari Sebelum Pengebumian
Putera Charles akan memberikan ucapan rasmi pertamanya sebagai Raja dan ketua Kerajaan serta akan mengangkat sumpah setia dengan 41 das tembakan hormat di Hyde Park, London.
Selepas itu, Raja Charles (jika ini nama yang beliau pilih) akan mengatur jelajah UK, melawat pemimpin kerajaan di ibu kota setiap negeri, Edinburgh, Belfast dan Cardiff sebelum kembali ke London.
Dalam tempoh ini, stesen televisyen akan memainkan banyak dokumentari yang tersedia sebagai penghormatan kepada Ratu Elizabeth.
BBC pula tidak akan memainkan rancangan berbentuk hiburan seperti program komedi sehingga pengebumian baginda.
Empat hari selepas kemangkatan, keranda Ratu akan diletakkan di pedati tentera diraja dan diarak dari Istana Buckingham ke Westminster Hall, lokasi di mana baginda akan diletakkan selama empat hari selepas Raja Charles dan keluarga diraja memberikan penghormatan terakhir.
Kemudian, pintu dibuka kepada ratusan ribu orang untuk memberikan penghormatan sama.
Hari Pengebumian
Upacara pengebumian akan mengambil masa selama 10 hingga 12 hari selepas Ratu Elizabeth mangkat.
Hari pengebumian juga akan menjadi cuti rasmi bank di seluruh UK.
Bursa Saham akan ditutup untuk kali kedua dalam tempoh dua minggu dan kebanyakan perniagaan akan turut mengikutinya.
Tepat jam 11 pagi, menara jam Big Ben akan membunyikan locengnya dan seluruh negara akan mula berdiam.
Keranda Ratu akan dibawa keluar ke dalam Webminster Abbey, di mana kira-kira 2,000 tetamu terhormat memberikan penghormatan dan berdoa.
Selepas itu, keranda itu akan dibawa ke Windsor Castle dan akhir sekali ke St. George's Chapel di mana Ratu Elizabeth akan disemadikan di sebelah mendiang ayahandanya, Raja George VI.
Dalam masa setahun selepas pengebumian, upacara pertabalan rasmi Raja Charles akan berlangsung pada hari cuti bank UK.
Secara keseluruhannya, dengan mengambil kira pelbagai cuti bank, perbelanjaan pengebumian, dan keraian pertabalan, kemangkatan Ratu Elizabeth menelan kos sebanyak berbilion pound.
Malah, banyak perubahan akan berlaku.
Antaranya, mata wang British yang baharu akan dicetak dengan gambar Raja Charles dan mata wang dengan gambar Ratu Elizabeth akan beransur-ansur dikeluarkan daripada penggunaan.
Perkara sama juga akan berlaku kepada percetakan setem, pasport, dan uniform polis serta tentera.
Malah, lagu kebangsaan akan ditukar kepada"God Save The King".
Jadi, Operasi London Bridge akan dikenang dan boleh dikatakan pengebumian diraja terbesar dalam sejarah dunia.

Sumber | Astro Awani






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo