NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Anda mahu bina rumah sendiri?

Tentu ramai mempunyai impian membina rumah sendiri dengan rekaan citarasa masing-masing. 

Jika anda mempunyai tanah lot atau tanah pertanian di kampong, memang berbaloi membina rumah dengan bajet lebih murah dari pembelian rumah pemaju. 
 
Sebagai jurutera awam profesional berpengalaman 40 tahun dalam pembinaan bangunan, saya senaraikan sedikit tip jika anda berniat membina rumah idaman. 
 
Soalan lazim.
 
1. Berapa keluasan tanah lot yang diperlukan?

Paling minima dan selesa ialah 4000 kaki persegi (50’x80’). 

Tiada masalah jika anda mempunyai tanah lot keluasan besar tetapi akan memeningkan kepala untuk penyelenggaraan nanti.
 
2. Berapa keluasan rumah yang selesa?

Tentunya mengikut citarasa dan bajet peribadi tetapi untuk keluarga sederhana empat bilik, 1 stor dan 3 tandas adalah memadai dengan saiz antara 1500 hingga 3000 kaki persegi.
 
3. Bajet.

Semuanya bergantung pada kewangan anda, dan dari pengalaman saya harga Rm150-RM180 kps adalah sesuai. 

Ini bermakna untuk rumah saiz 2000 kps, bajet pembinaan anda ialah RM360,000 (Rm180/kps). 

Anda boleh membina rumah dengan kos RM100/kps tetapi akan memeningkan kepala. 

Anda juga boleh bina rumah dengan bajet RM250/kps jika memilih kemasan yang mahal.

Tambah 25%-50% kos selepas PKP. 
 
4. Bajet yang tak nampak.

i) Kos lantik juruperunding (akitek, engineer, pelukis pelan dll)
ii) Kos submit pelan kepada Majlis.
iii) Kos sambungan air dan letrik.
 
5. Bajet yang selalu tertinggal.
i) Kos pagar (RM100 per ft run).
ii) Kos pembetung (culvert).
iii) Kos piling jika perlu.
iv) Kos ‘treatment’ anai-anai.
v) Kos tanaman rumput dan lanskap.
vi) Kos built-in cabinet terutama cabinet dapor, langsir, aircon dan furniture (10% dari bajet).
vii) Kos fittings (kepala paip, grills, kipas, sinki, tandas, kunci, dll).
viii) Kos lampu dalaman dan kawasan.
ix) Kos perparitan. 
x) Bangsal kereta dan premix apron ke jalan raya.  
 
6. Pemilihan Akitek.

Ramai menjadi ‘cheapskate’ kerana ingin potong bajet dengan tidak melantik akitek dan jurutera merekabentuk rumah idaman. Akhirnya rumah sudah siap tetapi pahat masih berbunyi. 

Percayalah, bahawa anda tidak rugi melantik akitek dan jurutera kerana mereka terlatih dalam rekabentuk rumah mengikut kepuasan pelanggan. 

Jika anda membina rumah ‘simple’ berbentuk empat segi, cukup dengan mengambil khidmat pelukis pelan.
 
7. Kos Juruperunding.

Harga boleh dirunding tetapi kebiasaan antara 3% - 8% dari harga rumah. 

Anggaran kos pelukis pelan antara RM3,000 – RM6,000 bergantung pada kepandaian anda menawar.
 
8. Pemilihan Kontrektor.

Ini bab paling rumit kerana terdapat berbagai kontrektor yang mengaku berpengalaman membina rumah. 

Kebiasaan saya nasihatkan rakan-rakan untuk memilih kontrektor yang sedang membina rumah berdekatan dengan cadangan rumah anda. 

Teliti kualiti pembinaan yang dilaksanakan dan bertanya pada tuan rumah tentang keikhlasan kontrektor tersebut.

Ada kontrektor memberi khidmat ‘All in One’, dari melukis pelan, submission Majlis, pembinaan, permohonan utiliti sehingga siap. 
 
Satu lagi cara ialah mendapat kontrektor dari rekomen rakan-rakan yang pernah berurusan dengan beliau. Jangan pilih kontrektor yang iklan atas pokok. 
 
9. Surat perjanjian dengan kontrektor.

Semua terma yang dipersetujui mesti ditulis dalam satu surat perjanjian lengkap dengan saksi. 

Paling penting ialah terma pembayaran mengikut ‘schedule progress’ kerja.

Ini hanya contoh mudah:

i) Siap pembersihan tapak – RM2000
ii) Siap cerucuk/foundation – RM3000
iii) Siap ground beam – Rm3000
iv) Siap column – RM3000
v) Siap roof beam – RM3000
vi) Siap trusses dan roofing – RM10000
vii) Siap brickworks – RM5000
viii) Siap kerja pipe dan wiring – RM5000
ix) Siap plastering – RM3000
x) Siap flooring – RM3000
xi) Siap tiling – RM5000
xii) Siap kerja cat – RM3000
xiii) Siap kerja tingkap dan pasang pintu – RM10000
xiv) Siap kerja fittings – RM3000
xv) Siap kerja pagar – RM15000
xvi) Siap tangki najis – RM3000
xvii) Siap pembersihan, testing and commissioning dan handover – Final payment.
xviii) Pegang bayaran akhir RM1000 (minima) selama 6 - 12 bulan untuk pembaikan kerosakan oleh kontrektor (defect liability period) - ini perlu persetujuan kontrektor. 

Kebiasaan akan ada perbalahan antara tuan rumah dan kontrektor jika ‘schedule payment’ tidak dipersetujui dahulu.

Jika projek Kerajaan ada bond atau bank garanti yang ditinggalkan sehingga ‘defect liability period’, tetapi untuk projek kecil membina banglo tiada kontrektor akan bersetuju ‘final payment’ mereka yang banyak dipegang selama setahun. Saya rekomen simpan Rm1000 (minima) sebagai bond. 

Walaubagaimana pun anda boleh berbincang dengan kontrektor berkenaan kerja-kerja ‘defect’ selepas ‘handover’. Kebiasaan mereka sangat liat untuk membuat kerja ‘defect’, dan anda boleh menolak duit bond dengan mengupah orang lain. 
 
10. Beberapa tip pembinaan.

i) Jika anda mempunyai banyak masa terluang, anda boleh upah kontrektor untuk membina rumah anda tetapi semua barangan binaan anda beli dan hantar sendiri. 

Sekurang-kurangnya anda boleh jimat 10-20% dari bajet asal, tetapi cara ini memeningkan kepala. Saya pernah membina rumah kampong cara ini dan ianya sangat memenatkan. 

ii) Siapkan rangkaian pipe pvc yang sudah ditebuk dan ditanam keliling foundation tiang agar kimia anti anai-anai boleh dipam selepas rumah siap setiap tahun. 

Anda perlu sembur kimia anti anai-anai di dalam kawasan foundation atas batu hardcore sebelum kerja flooring. Kerja ini selalu tertinggal walhal kimia anti anai-anak sangat murah. 

iii) Pastikan rekabentuk rumah ada free air flow untuk ‘natural ventilation’ dan cukup ‘shading’ dari matahari. Pasang solar heater dan pam air jika ada bajet semasa pembinaan. 

iv) Pastikan bilik utama terima sinaran matahari pagi bukan sinaran petang.

v) Ketinggian ‘floor to ceiling’ minima 10 kaki.

vi) Lebihkan plug point letrik di setiap bilik dan ruang.

vii) Jika ada bajet, tanam kabel CCTV dan alarm rumah dalam plastering dinding.

viii) Pastikan semua wiring letrik disimpan dalam conduit PVC atas siling.

ix) Jika ada bajet, mohon 3 phase supply dari TNB. Jika ada 3 phase tiada masalah jika ingin memasang banyak pendingin udara nanti. 

x) Siapkan semua saluran dan plug point pendingin udara di dinding untuk elakkan penebukan di lain-hari.

xi) Pastikan tangki air rumah minimum 400 gelen atau lebih. Clay tiles lebih baik dari concrete tiles untuk hindar panas matahari. Metaldecking roof perlu ada penebat haba. 

xii) Pastikan Kontrektor faham bancuhan konkrit 1:2:4 gred 20 (1 simen, dua pasir dan 4 batu kerikil). Lebih baik penggunaan konkrit gred 30.

xiii) Lebih baik guna besi bunga dari besi biasa.

xiv) Guna batu bata merah dari batu bata simen kerana lebih ‘cooling’. Guna tiles kecil homogeneous di lantai dapur dan tandas agar tidak licin. 

xv) Jangan lupa pasang lintol beam dan stiffener column setiap 12’x12’ dinding. Jangan lupa pasang drain floor trap di dapur untuk memudahkan pembersihan. 

xvi) Guna cat weather shield acrylic paint untuk dinding luaran. Border tiles guna simen biasa dan jangan simen putih kerana lambat laun warnanya akan berbelak. 

xvii) Buat ponding test dan flow test di setiap toilet sebelum tiling agar air tidak bertakung. Buat pressure test untuk paip air dalaman sebelum plaster dinding agar tidak bocor. 
 
11. Contoh kiraan bajet.

Luas tanah = 50’ x 80’
Cadangan rumah = 30’ x 50’ (1500kps)
Kos rumah = 1500kps x Rm180 = RM270k.
Harga Pagar = RM100 x 260’ = RM26k
Kos perabut & fittings 10% x RM270k=RM27k
Fees Akitek/Engineer & Majlis =
8% x RM270k = RM21.6k
 
Anggaran kasar, lebih kurang RM350,000

12. Beberapa faktor apabila rancang rumah untuk orang bersara.

Apabila merancang rumah setelah bersara ramai lupa bahawa usia mereka semakin meningkat. 

Misalnya master bedroom yang biasanya di tingkat atas sudah tidak bersesuaian lagi. 

Saya senaraikan beberapa perkara yang perlu diambil kira kerana faktor umor. 

• bina master bedroom di ground floor. 
• pastikan tandas cukup luas untuk mandian jenazah. 
• guna tiles anti-skid/anti-slip.
• tiles warna cerah lebih baik dari tiles warna gelap.
• pasang pemegang besi (handrail) dalam tandas jika perlu.
• guna pemulas pintu bukan tombol
• siapkan pasang wiring CCTV, alarm sekuriti dan alarm api dan letak console di master bedroom. 
• Dapur biar dekat dengan master bedroom agar tak perlu bergerak jauh.
• guna pipe fittings dan aksesori jenama baik seperti DOE dalam tandas agar tidak mudah rosak.
• cari toilet dan sinki jenama baik kerana tak mudah rosak seperti Johnson Suisse.
• jangan cari toilet jenama pelik kerana susah cari alat ganti seperti cistern.
• saya hanya percaya kipas siling National atau KDK.
• Schneider Electric dan MK untuk suis dan socket electric. 
• pakai lampu LED dan bulb LED jenama Osram atau Phillips adalah terbaik. 
• jangan banyak floor recess kerana menyusahkan pergerakan wheelchair. 
• pasang spotlight di 4 bucu dinding luar dan switch di master bedroom. 
• saiz master bedroom yang bersesuaian ialah 14 kaki x 16 kaki. 
• elakkan tangga untuk masuk rumah kalau boleh. 
• hati-hati penipuan kontrektor bila pasang pagar BRC hot deep galvanised anti-climb fence. Harga anti climb fence dua kali ganda dari pagar biasa. 
• guna lampu solar untuk kawasan untuk penjimatan. 
• seboleh mungkin pasang auto gate tanpa rail kerana ianya perlu penyelenggaraan tinggi. 
• pada pendapat saya CCTV yang disambung internet sangat penting kerana anak-anak boleh monitor ibu-bapa secara remote. 
• minima 15 plug points di dapur dan jangan lupa pasang exhaust fan dan kitchen hood. 
• rancang rumah untuk automation sebagai smart home.  
• rumah bentuk ‘squarish’ lebih murah dan mudah selenggara dari rumah berkelok-kelok. 

Wallahua’lam. 

Dipersilakan share. Saya mohon doakan saya dan keluarga selamat dan mendapat kebaikan dunia akhirat. 

Ir.Hj.Zainuddin.Bin.Hj.Omar 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo