JOHOR BAHRU: Tindakan Datuk Seri Azalina Othman Said yang secara terbuka menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berhubung soal lantikan Peguam Negara bukan hanya mengecewakan, malah memberi gambaran salah terhadap UMNO kepada masyarakat.
Sehubungan itu, Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Mohd Fuad Tukirin, mendesak Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang juga Penasihat Undang-Undang Perdana Menteri, melepaskan jawatannya bagi menjaga integriti Perdana Menteri.
Katanya, sebagai Penasihat Undang-Undang Perdana Menteri, Azlina seharusnya memberi kenyataan matang dan lebih bertanggungjawab, namun sebaliknya memberi gambaran salah bahawa Perdana Menteri perlu mencampuri urusan legislatif.
"Taklimat khas Presiden kepada empat peringkat jawatankuasa UMNO seharusnya fokus kepada usaha parti berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan menyatukan ahli serta semua jentera parti.
"Ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menyeru kepada solidariti dan penyatuan dalam parti. Namun ucapan Azalina pada awal taklimat mewujudkan gambaran salah kepada Perdana Menteri," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Azalina ketika berucap pada majlis Taklimat Khas Presiden UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur petang tadi.
Ahli MKT UMNO itu dilapor berkata, pelantikan Peguam Negara adalah atas nasihat Perdana Menteri yang harus melantik 'orang dia' untuk mudahkan segala urusan.
Mengulas lanjut, Mohd Fuad berkata, tindakan Azalina itu bukan sekadar menyerang Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, malah meletakkan kesalahan ke atas Perdana Menteri kononnya melakukan kesilapan apabila tidak melantik Peguam Negara yang lebih 'mesra' UMNO.
"Kenyataan itu amat tidak baik untuk imej parti menjelang PRU-15.
"Desakan terbuka supaya lantikan Peguam Negara baharu yang 'mendengar cakap' Perdana Menteri, bukan sahaja memberi imej hodoh kepada parti pada pandangan masyarakat umum, malah menggambarkan parti mahu 'mengawal' legislatif negara," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Fuad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning, melahirkan kekecewaannya, apabila melihat perhimpunan di WTC Kuala Lumpur petang tadi yang seharusnya memperlihatkan kematangan dan kewibawaan UMNO untuk memimpin negara, telah tercemar.
Katanya, ia dicemari idea bertentangan dengan kehendak rakyat biasa yang tidak berparti, pengundi di atas pagar serta pengundi muda yang mengutamakan integriti, ketelusan selain tidak mencampuri urusan perundangan negara.
"Memang kita bersedih dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ke atas bekas Presiden UMNO dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Namun, sebagai sebuah parti utama negara, UMNO perlu menunjukkan kematangan dalam menangani proses keadilan serta menjunjung tinggi proses perundangan negara seperti yang digariskan dalam Rukun Negara," katanya.
Mohs Fuad turut kecewa dengan reaksi berlebihan ucapan pemimpin UMNO termasuk Azalina yang secara terbuka menyindir Perdana Menteri, sehingga memberi laluan kepada segelintir perwakilan memperlekehkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Saya juga ingin bertanya apa maksud Azalina apabila berkata beliau tidak boleh bercakap banyak kerana khuatir ditangkap.
"Ini gambaran tidak baik kepada Perdana Menteri dan parti, seolah-olah Naib Presiden UMNO itu mempunyai motif tersembunyi dalam kes Najib sehingga beliau diperlekehkan perwakilan secara terbuka," katanya.
No comments
Post a Comment