KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini menafikan dakwaan bahawa wujud desakan dalaman untuk memecat Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, daripada kepimpinan parti itu.
Beliau berkata, desas-desus mengenai dakwaan itu hanyalah bohong semata-mata dan disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, dipercayai bertujuan untuk menggoyahkan UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
"Itu semua bohong, kesianlah kat Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), itu semua ada orang buatlah (sebarkan) di media sosial ni, masalah kalau macam tu.
"Dia macam ni ada orang ambil kesempatan dari apa yang berlaku ini untuk memecahbelahkan (UMNO) dan semua pun tahu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah naib presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi Presiden parti, jadi ada orang yang ambil kesempatan, pihak yang nak pecah belahkan itu pun nak pergi pada pilihan raya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai agenda Taklimat Khas Presiden bersama ahli jawatankuasa bahagian dan pimpinan UMNO di Pusat Dagangan Dunia esok, beliau berkata pertemuan itu nanti hanyalah untuk memperkukuhkan parti.
Ketika ditemui di majlis perasmian Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia di sini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Tan Sri Noh Omar, turut menafikan dakwaan adanya tekanan dari Umno supaya Ismail Sabri dipecat daripada parti itu, jika tidak menyegerakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
"Tak pernah bincang pun," katanya menjawab pertanyaan pemberita mengenai desas-desus perkara itu.
Beliau juga berkata hubungan antara Ismail Sabri dan Ahmad Zahid adalah akrab.
"Sebelum ini, kalau ada Mesyuarat Biro Politik, saya sendiri melihat mereka (Ismail Sabri dan Ahmad Zahid) akan berbincang sama mereka terlebih dahulu sebelum memulakan mesyuarat.
"Kalau ada mendakwa wujud group atau kumpulan (di dalam Umno) itu adalah tidak benar," katanya yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Selangor.
-- BERNAMA
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment