SINGAPURA: Republik ini menjadi destinasi pilihan bagi rakyat Malaysia mencari kerja disebabkan tawaran gaji yang lebih lumayan, selain faktor berdekatan Malaysia.
Difahamkan, lebih separuh golongan pekerja dari Malaysia berkhidmat dalam bidang profesional dan 80 peratus yang lain bekerja dalam sektor perkhidmatan, laporChannel News Asia.
Antaranya termasuk Dr. Khoo Yong Khean, 39, yang merupakan seorang pegawai saintifik di Sekolah Perubatan DUKE-NUS.
Pada 2017, katanya, dia sangup meninggalkan perkhidmatan awam di Malaysia dan memilih bekerja di Singapura.
Katanya, walaupun Malaysia memiliki kekurangan dalam bidang penyelidikan perubatan berbanding Singapura, namun, laluan kerjaya seorang doktor di Malaysia lebih tersusun.
“Saya mahu belajar dan meneroka perkara tentang penjagaan kesihatan.
“Singapura adalah hab penjagaan kesihatan utama di rantau ini. Ia berkait rapat dan mudah menyesuaikan diri dari aspek budaya serta dekat dengan rumah,” katanya.
Beliau berkata, gaji yang ditawarkan di Singapura merupakan faktor tarikan yang mempengaruhi keputusannya, lebih-lebih lagi nilai mata wang dolar Singapura lebih kukuh berbanding ringgit.
Isu sama turut disuarakan oleh jururawat, Jamunah Arumugham yang pernah mendapat latihan di Melaka sebelum berpindah ke Singapura pada 2011.
Pada mulanya, dia hanya ke negara sempadan bagi menimba pengalaman kerja, namun disebabkan peningkatan imbuhan yang diterima membolehkan dia menyelesaikan pinjaman pelajaran serta meringankan beban kewangan keluarga.
Jelasnya, semasa bekerja di Hospital Universiti Nasional Singapura, dia memperoleh pendapatan sekitar 2,500 dolar Singapura (RM7,927) sebulan, lebih lima kali ganda daripada gaji yang pernah diterima sebagai jururawat muda di Melaka sebanyak RM1,500.
Arumugham, 35, kini tinggal bersama suami dan anak lelakinya berusia tiga tahun di Johor Bahru dan kerap berulang-alik merentas sempadan untuk bekerja.
“Saya mempunyai banyak komitmen kewangan pada masa ini seperti pinjaman rumah, kereta dan menyara keluarga. Amat sukar untuk saya berhenti kerja dan pulang bekerja di Malaysia,” katanya.-CNA
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment