Oleh: Muhammad Fathi Yusof
Utusan Malaysia
27 Ogos 2022
Undang-undang Malaysia memberi ruang kepada mereka yang telah didapati bersalah dan menjalani hukuman jenayah untuk mendapat pengampunan.
Sebenarnya pengampunan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan ini bukanlah satu hak atau keistimewaan, tetapi satu peluang bagi mereka yang telah menjalani hukuman yang setimpal dan berkelayakan untuk menerima pengampunan setelah melalui proses tapisan tertentu.
Latar belakang atau jasa seseorang yang didapati bersalah bukan satu jaminan bahawa dia berhak untuk mendapat pengampunan. Pengampunan juga tidak diberikan sebagai satu keistimewaan kepada seseorang yang pernah menjadi pemimpin utama negara atau apa-apa keistimewaan lain.
Bahkan mana-mana parti atau gabungan parti yang memenangi pilihan raya serta menubuhkan kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menentukan pengampunan untuk mana-mana tokoh. Pengampunan istimewa yang diberikan kepada Dato Seri Anwar Ibrahim sejurus Pilihan Raya Umum 2018, bukan satu keputusan yang boleh dijadikan sandaran atau rujukan. Pengampunan bukannya kuasa politik mana-mana pihak, tetapi ia adalah kuasa khusus yang tertakluk kepada prinsip Perlembagaan.
Menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berkuasa memberi ampun (pardon), tunda hukum (reprieves) dan lega hukum (reprites) berkenaan dengan kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan dan kesalahan di bawah mahkamah tentera. Manakala Raja-raja atau Yang Di-Pertua Negeri mempunyai kuasa yang sama bagi kesalahan yang berlaku di negeri masing-masing.
Kuasa pengampunan yang diletakkan kepada Institusi Istana menggambarkan bahawa ia adalah kuasa khusus yang tidak terikat dengan kuasa politik. Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu tidak berpihak, dan berada pada kedudukan yang lebih tinggi dari pemimpin politik. Kuasa memberikan pengampunan tidak termasuk dalam perkara yang perlu dilaksanakan atas nasihat Perdana Menteri atau Menteri Besar, kerana kuasa ini dilaksanakan melalui mekanisme khusus yang ditentukan oleh Perlembagaan.
Perkara 42(4) dan (11) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Raja-raja melaksanakan kuasa ini melalui nasihat Lembaga Pengampunan Negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan. Maksudnya dalam soal pengampunan ini, YDPA dan Raja-raja serta YDPN perlu bertindak berdasarkan nasihat Lembaga Pengampunan bukannya nasihat Perdana Menteri atau Menteri Besar.
Siapakah anggota Lembaga Pengampunan? Menurut Perlembagaan, lembaga ini perlu dianggotai oleh Peguam Negara atau wakilnya, Menteri Besar atau Ketua Menteri atau Menteri Wilayah Persekutuan, dan tidak lebih tiga anggota lain yang dilantik. Mesyuarat lembaga ini perlu dipengerusikan sendiri oleh YDPA, Raja-raja atau YDPN. Peranan YDPA dan Raja-raja sebagai pengerusi Lembaga tentunya berbeza dengan peranan biasa yang dilaksanakan melalui nasihat di bawah Perkara 40.
Dalam melaksanakan amanah kuasa pengampunan ini, Raja-raja Melayu yang juga merupakan ketua agama Islam perlu jujur, amanah dan adil dalam membuat ketetapan. Prinsip dan falsafah Islam berkaitan pengampunan hukuman jenayah perlu diberi perhatian yang mendalam. Pemerintah dalam Islam, memegang amanah Tuhan, bukannya mewakili kuasa Tuhan sebagaimana yang diamalkan dalam konsep pemerintahan teokratik pada Zaman Pertengahan di Eropah.
Oleh itu, dalam Islam, pemerintah secara asasnya tidak mempunyai kuasa pengampunan bagi mana-mana kesalahan jenayah. Keputusan hakim adalah muktamad. Jika ingin dipersoalkan sekali pun, ruang yang diberikan adalah melalui proses rayuan yang dikemukakan kepada mahkamah yang lebih tinggi. Pemerintah tidak berhak campur tangan terhadap keputusan mahkamah.
Konsep pengampunan yang tersurat dalam Perlembagaan sebenarnya bukan dari tradisi Islam atau Kesultanan Melayu. Andrew Harding misalnya mengaitkan konsep ini dengan amalan ‘royal prerogative of mercy’ atau ‘prerogatif belas kasihan diraja’ yang wujud dalam sistem perundangan Inggeris sejak tahun 1617.
Dalam kes, Sim Kie Chon lwn. Superintendent of Pudu Prison & Ors [1985] 2 MLJ 385, Hakim Besar Malaya, Tun Abdul Hamid menyebut bahawa kuasa pengampunan adalah kuasa tinggi prerogative of mercy yang bersifat eksekutif tetapi sifatnya itu menjadikannya tidak boleh diganggu atau diubah oleh kajian semula kehakiman.
Berdasarkan realiti ini, kuasa pengampunan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan ini adalah satu kuasa luar biasa yang hanya wajar digunakan untuk situasi yang khusus dan dilaksanakan mengikut kaedah yang jelas, telus dan adil. Raja-raja Melayu yang juga ketua agama Islam tentunya amat menyedari bahawa kuasa ini tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya kerana ia kelak pasti akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah. Kuasa mengampun itu hakikatnya kuasa Allah, dan manusia pada asalnya tidak hak untuk mengampuni dosa dan kesalahan manusia lain.
Situasi yang mungkin mewajarkan pengampunan adalah seperti apabila pesalah telah menjalani hukuman yang setimpal, menginsafi kesalahannya dan berkelakuan sangat baik sepanjang menjalani hukuman. Oleh yang demikian, pengampunan segera kepada pesalah yang baru dijatuhi hukuman jenayah bukan satu pilihan yang munasabah.
Bayangkan betapa sukar, rumit dan panjangnya proses siasatan, pendakwaan, dan perbicaraan yang dilalui melibatkan institusi polis, SPRM, pendakwa raya, dan beberapa peringkat mahkamah, sehingga membawa kepada hukuman yang dijatuhkan ke atas pesalah. Jika pengampunan segera diberikan kepada pesalah, maka kesemua proses yang panjang dan rumit itu menjadi sia-sia dan tidak bermakna. Malah pengampunan segera jika diberikan kepada pesalah, boleh dianggap sebagai satu tindakan memperkecilkan peranan institusi penguatkuasaan, perundangan dan kehakiman dalam negara.
Jika diteliti secara lebih mendalam, tindakan memberikan pengampunan sebelum pesalah menjalani hukuman yang setimpal adalah satu langkah yang meremehkan peranan institusi kehakiman yang merupakan benteng penegak keadilan dalam negara. Sesuatu hukuman mahkamah dilaksanakan melalui proses penilaian yang teliti dan bersungguh-sungguh dengan mengambil kira semua aspek persoalan fakta dan persoalan undang-undang. Bahkan beberapa lapisan perbicaraan dan rayuan, serta penglibatan hakim-hakim kanan dalam membuat keputusan juga menunjukkan kesungguhan badan kehakiman dalam menegakkan keadilan dalam negara. Alangkah sedihnya jika kesungguhan yang menjadi sandaran keyakinan rakyat terhadap instutusi keadilan ini, akhirnya ditumpaskan melalui proses pengampunan segera yang dilaksanakan melalui proses yang tentunya tidak setanding dengan ketelusan dan ketelitian mahkamah.
Ringkasnya, kuasa pengampunan adalah kuasa istimewa yang hanya wajar dilaksanakan berteraskan prinsip yang kukuh dan melalui kaedah yang adil, telus dan berwibawa. Kuasa pengampunan ini tidak boleh tunduk kepada kuasa politik. Kita tidak mahu lagi tanggapan bahawa pesalah dari kalangan ahli politik akan berpeluang untuk bebas semata-mata kerana partinya menguasai kerajaan. Semua pihak perlu menghormati had dan peraturan berkaitan kuasa pengampunan dan tidak mencemari institusi Istana dengan desakan bagi memberikan pengampunan kepada mana-mana individu yang telah dijatuhi hukuman oleh mahkamah.
MUHAMMAD FATHI YUSOF
Universiti Teknologi Malaysia
Kuala Lumpur
No comments
Post a Comment