Seorang pemimpin PAS hari ini mendakwa, Pakatan Harapan (PH) berpotensi besar untuk memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Justeru kata Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Mohd Zuhdi Marsuki parti itu perlu segera mencari jalan mewujudkan "kerusi Muafakat Nasional" bersama Umno-BN.
Dia berkata PRU ke-15 boleh diadakan pada bila-bila masa saja sekarang dan Muafakat Nasional (MN) adalah kaedah yang mampu menafikan kemaraan PH.
Menjelaskan idea tersebut, setiausaha politik kepada Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata ketika ini parti Melayu berpecah-pecah dalam pelbagai gabungan, termasuk BN, Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA).
“Dengan wujudnya tiga gabungan BN, PN dan GTA kali ini, risiko untuk PH menang pasti lebih tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Melalui MN, tambah Mohd Zuhdi sekurang-kurangnya kemenangan PH dapat disekat walaupun harapan untuk membentuk kerjasama PAS-Umno seperti termaktub dalam piagam dulu masih jauh untuk dicapai.
"Namun demikian usaha untuk menghalang PH menang tetap wajib diusahakan. Oleh yang demikian, ruang perlu diterokai dalam MN agar usaha itu dapat dilaksanakan.
"Di Semenanjung Malaysia, ada 27 kerusi yang sangat berisiko untuk jatuh ke tangan PH sekiranya Umno dan PAS bertembung," katanya.
Dalam keadaan begitu, kata Mohd Zuhdi, Umno dan PAS tidak boleh bertembung di kerusi berkenaan dan kedua-dua parti perlu mencapai persefahaman untuk mengelakkannya.
Oleh itu, katanya, kawasan berkenaan boleh dinamakan sebagai "kerusi MN" dan kedua-dua parti kembali ke meja perundingan untuk mengelak berlaku pertembungan semasa sendiri.
"Malah adalah terlebih baik (jika) di kerusi-kerusi MN ini, Umno dan PAS boleh membentuk jentera bersama supaya calon mereka boleh menang selesa," katanya.
Mohd Zuhdi yang dilantik menyertai AJK PAS Pusat selepas gagal mendapat undi mencukupi dalam pemilihan lalu berkata, jika cadangan mewartakan 27 kerusi itu mampu dipersetujui oleh BN dan PN, maka ia akan menjadi "mimpi ngeri" kepada PH.
Untuk rekod semalam bekas AJK PAS Pusat, melalui hantaran di media sosial Mohd Khairuddin Aman Razali mengajak penyokong kerajaan mengenang kembali detikpembentukan MN.
Cabar senaraikan kerusi ‘putih’
Sementara itu, Naib Presiden PAS Idris Ahmad turut menegaskan PH akan memenangi PRU ke-15 dan ia mesti dihalang.
Disebabkan itu, menteri di Jabatan Perdana Menteri berkenaan menggesa PAS, Umno dan Bersatu bekerjasama menghadapi PRU atau mereka akan berdepan risiko menjadi pembangkang sekali lagi.
Idris juga secara sinis 'mencabar' pihak yang enggan kerjasama itu menjadi kenyataan agar menyenaraikan kerusi yang dianggap selamat daripada dirampas pembangkang.
“Tolong listed (senaraikan) kerusi mana yang kita eksyen (berlagak) sangat (dan) kalau kita pecah kita boleh menang? Tolong listed.
"Sebab itu kalau kita pecah... PRU ke-14 (dulu) result dia keputusan begitu,” katanya yang dipetik portal harakahdaily hari ini.
Demi mencapai kerjasama tersebut, senator terbabit menasihatkan supaya semua parti melupakan sejarah konflik yang melibatkan mereka sebelum ini.
“Kita lupakan, tak perlulah kita nak ungkit sejarah-sejarah apa yang mereka lakukan, tapi kita berjiwa besar, kita buka buku baru.
"Kita berpolitik biar nampak cerdik. Biar kita mati esok anak cucu kita kenang kita,” katanya.
Sumber | MalaysiaKini
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment