ZAINI pada sidang media di sini, hari ini. FOTO Izz Laily Hussein. |
Johor Bahru: Keputusan mengenai pertukaran cuti hujung minggu negeri ini daripada hari Jumaat dan Sabtu kepada Sabtu dan Ahad perlu diserahkan sepenuhnya kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang akan membuat pertimbangan secara bijaksana.
Presiden Majlis Penyelaras Gabungan NGO Melayu (Gabung) Negeri Johor, Zaini Atan berkata, beberapa faktor boleh dilihat menerusi cuti hujung minggu ini antaranya soal Solat Jumaat, hari persekolahan anak-anak dan faktor ekonomi.
"Baru-baru ini, saya ada terbaca berita jika cuti hujung minggu ditukar kepada Sabtu dan Ahad, hari bekerja pada Jumaat akan ditetapkan sebagai separuh hari.
"Ramai yang mempersoalkan mereka akan tergesa-gesa mengambil anak-anak pulang sekolah jika cuti hujung minggu ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad.
"Keadaan itu akan menyebabkan ada yang akan terlepas untuk solat Jumaat. Manakala, anak-anak yang bersekolah sesi petang tidak akan dapat bersekolah pada Jumaat kerana separuh hari dan ini menjadikan sesi persekolahan mereka hanya empat hari seminggu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Turut hadir, Naib Presiden Gabung Johor, Abdullah Md Yusof.
Menurut Zaini, cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu juga memberi kelebihan kepada para peniaga sekali gus membantu pertumbuhan ekonomi.
"Kita boleh lihat apabila orang ramai keluar berbelanja pada Jumaat dan Sabtu kemudian kembali bekerja pada Ahad yang mana pada Ahad pula warga Singapura membanjiri pusat bandar untuk berbelanja.
"Ini bermakna peniaga mendapat limpahan rezeki untuk tiga hari berturut dan kesesakan juga dapat dikurangkan pada Ahad," katanya.
Beliau berkata, Gabung Johor hanya mahu membantu membawa suara rakyat supaya kerajaan negeri memikirkan atau memberi lebih lagi masa untuk mempertimbangkan secara terperinci mengenai pertukaran cuti hujung minggu itu.
Katanya, mereka tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak dalam menentukan pendirian mereka.
Pada masa sama, beliau menyuarakan pendapat kepada pihak syarikat swasta untuk menyelaraskan cuti hujung minggu dengan kerajaan negeri supaya tidak berdepan masalah perbezaan hari cuti.
Sumber | Harian Metro
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment