Indeks Makanan yang meningkat 6.9 peratus kekal menjadi penyumbang utama kenaikan inflasi bulan tersebut. - Gambar hiasan/Astro AWANI |
KUALA LUMPUR: Inflasi Malaysia meningkat 4.4 peratus kepada 127.9 pada Julai 2022 berbanding 122.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Indeks Makanan yang meningkat 6.9 peratus kekal menjadi penyumbang utama kenaikan inflasi bulan tersebut.
Namun begitu, terdapat item makanan yang menunjukkan momentum peningkatan yang lebih perlahan berbanding Jun 2022.
Antaranya ialah subkumpulan ikan dan makanan laut (4.2 peratus) serta sayur-sayuran (7.1 peratus).
"Peningkatan inflasi Malaysia pada bulan ini turut disebabkan oleh kesan asas yang lebih rendah pada tahun lalu berikutan pemberian diskaun bil elektrik dari lima hingga 40 peratus mengikut jumlah penggunaan kepada pengguna domestik di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada Julai sehingga September 2021," memetik laporan tersebut.
Menurut DOSM, selain daripada kumpulan makanan, kesemua kumpulan lain juga terus merekodkan peningkatan kecuali komunikasi yang kekal tidak berubah berbanding pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Restoran dan hotel meningkat 5.8 peratus diikuti pengangkutan (5.6%); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (4.0%) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (3.8%).
Sementara itu, perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan turut mencatatkan peningkatan sebanyak 2.5 peratus, pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.1%) dan pendidikan (1.2%).
Indeks Harga Pengguna, Julai 2022 |
Pada masa sama, inflasi bagi tempoh Januari hingga Julai 2022 meningkat 2.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Bagi perbandingan bulanan, inflasi meningkat 0.4 peratus berbanding Jun 2022.
Kesemua inflasi negeri menunjukkan peningkatan dalam inflasi di mana tiga negeri meningkat melepasi paras inflasi nasional 4.4 peratus iaitu Putrajaya (8.8%), Selangor (5.2%) dan Johor (4.7%).
Sumber | Astro Awani
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment