NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Enam OKU antara 22 pendaki bakal takluk Gunung Kinabalu hujung bulan ini

Presiden Persatuan Orang Kurang Upaya (OKU) Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi (tengah) bergambar bersama para peserta pada Majlis Pelancaran Cabaran OKU IIUM Kinabalu 2022, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Enam pendaki Orang Kurang Upaya (OKU) antara 22 peserta yang bakal menggalas cabaran ekspedisi Kinabalu OKU Challenge 2022 yang dijadual bermula hujung bulan ini.
Mereka terdiri daripada empat pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Pensyarah Kuliah Ekonomi dan Sains Pengurusan UIAM Prof Madya Dr Mohd Nizam Barom dan pegawai kelestarian daripada Persatuan OKU Sentral Khairull Hafiz Ismail.
Ekspedisi anjuran UIAM itu yang bermula 28 Ogos hingga 2 Sept ini, akan diketuai Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti) UIAM Prof Madya Dr Zulkifli Hasan dan disertai lima pendaki pengiring rapat atau buddies climbers serta 10 kakitangan krew pendaki yang lain.
Seorang peserta, Mohd Nizam, 46, berkata beliau pada mulanya berasa agak gementar untuk menyertai ekspedisi itu kerana tidak pernah melakukan aktiviti pendakian sebelum ini,
"Jujur saya katakan pada mulanya memang gementar tetapi selepas membuat ujian (latihan) pendakian di beberapa tempat termasuk Bukit Melati (Negeri Sembilan) dan Bukit Gasing (Kuala Lumpur), kini saya bertambah yakin dan semakin serasi dengan buddies climbers," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas pelancaran ekspedisi itu oleh Presiden Persatuan OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi di sini hari ini.
Mohd Nizam yang merupakan OKU penglihatan yakin dapat menakluk puncak tertinggi di Malaysia itu menerusi sesi latihan yang telah dijalani.
"Sekarang berbaki tiga minggu sebelum ekspedisi bermula, saya akan meneruskan usaha meningkatkan stamina dengan membuat latihan sama ada berlari di stadium atau turun naik tangga di bangunan fakulti selepas waktu pejabat," katanya.
Sementara itu, Ras Adiba yang menyambut baik inisiatif UIAM itu berkata bagi kebanyakan golongan OKU perkara sedemikian hanya ibarat mimpi.
"UIAM telah membantu mengubah mimpi itu menjadi kenyataan dan ia sememangnya satu inisiatif yang bagus.
"Saya harap inisiatif ini tidak terhenti setakat ini sahaja malah diteruskan kerana sukan dan rekreasi adalah sesuatu yang patut turut dirasai oleh OKU," katanya.
-- BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo