Penduduk di kawasan itu menyifatkan kejadian ini antara yang terburuk yang dialami mereka dalam tempoh lebih 20 tahun menginap di rumah pangsa itu. - Foto Astro AWANI |
JOHOR BAHRU: Ribut, hujan lebat berserta angin kencang lebih 30 minit menyebabkan enam bumbung Rumah Pangsa Ros Merah di Johor Jaya, di sini tercabut diterbangkan angin petang tadi.
Susulan itu juga dianggarkan lebih 50 kediaman yang rata-rata berada di tingkat empat dan lima rumah pangsa terbabit turut dilimpahi air hujan.
Penduduk di kawasan itu menyifatkan kejadian ini antara yang terburuk yang dialami mereka dalam tempoh lebih 20 tahun menginap di rumah pangsa itu.
Suri rumah, Rosliza Jaafar berkata akibat angin kencang, palang kayu bumbung blok sebelah diterbangkan masuk ke rumahnya sebelum bumbungnya sendiri tercabut.
"Masa itu saya sedang kemas rumah, saya lihat bumbung rumah depan tu atap terbang dan kayu tertusuk masuk dalam rumah saya. Saya sangat takut, saya ingat rumah saya tak kena, saya paling belakang, air dah masuk rumah, air hujan luar, air hujan juga kat dalam rumah," katanya sewaktu tinjauan Astro AWANI.
Buat seorang lagi penduduk, Nizam Maskam yang juga seorang pekerja kilang, tidak ada apa di benak fikirannya ketika kejadian selain dari mencari kedua-dua orang tuanya.
"Hari ini Jumaat, hendak pergi solat Jumaat, angin dia lain macam, itu yang jadi macam ini. Pertama sekali saya cari mak ayah tengah uzur kat rumah. Lepas itu saya tak cari apa, barang kat rumah tidak dapat diselamatkan.
"Habis basah, hancur, dia (mak dan ayah) dah uzur umur dah umur 80 tahun lebih. Angkat pangku letak dia dekat beranda. Ini kali pertama kejadian yang teruk, dia sekali terus ribut angin dan hujan sekali," katanya.
Selain Rumah Pangsa Ros Merah, beberapa jalan turut terjejas dengan insiden pokok tumbang akibat ribut di kawasan Mukim Plentong.
Antaranya Jalan Surau dan Jalan Bilal di Kampung Melayu Pandan, Jalan Balau 15, Bandar Seri Alam, Taman Megah Ria, Taman Bukit Rinting dan Taman Rinting di Masai.
Turut terjejas Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, Kawasan Perindustrian Tebrau, Taman Molek dan Bandar Putra di Pasir Gudang.
Sumber | Astro Awani
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment