Pasukan bomba menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan terperangkap dalam kenderaan. Foto ihsan bomba |
SIPITANG: Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun lapan bulan diselamatkan pasukan bomba selepas terkunci dalam kenderaan di parkir sebuah penginapan di Jalan Sindumin, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, kanak-kanak terbabit dikatakan terperangkap di dalam kenderaan Toyota Hilux Rogue berkenaan ketika mereka sekeluarga baru saja sampai di pusat penginapan berkenaan.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika bapa kanak-kanak itu sedang mengangkat barang untuk dibawa masuk ke bilik penginapan yang ditempah.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada 6.48 petang.
Katanya, seramai tujuh anggota termasuk pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba, kanak-kanak perempuan itu didapati masih terkunci dalam kenderaan berkenaan.
"Pasukan bomba kemudian bertindak membuka pintu kenderaan dan mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kanak-kanak terbabit tidak mengalami kecederaan dan diserahkan kepada keluarganya.
"Selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada jam 7.08 malam tadi," katanya.
Sumber | BH Online
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment