Ketua Pegawai Eksekutif BNS, Ir Azhar Jumaat memberikan taklimat ketika lawatan media ke tapak pembinaan kapal Littoral Combat Ship (LCS) di BNS, Lumut. - NSTP/ HAIRUL ANUAR RAHIM |
KUALA LUMPUR: Dua bekas anggota Kabinet ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) mendakwa kerajaan ketika itu tidak pernah membekukan projek kapal tempur pesisir pantai (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang kini tergendala.
Sebaliknya, kedua-dua mereka mendakwa projek itu tergendala disebabkan akibat kekangan kewangan yang dialami Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).
Bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Timbalannya ketika itu, Liew Chin Tong melalui satu kenyataan bersama hari ini berkata, kerajaan PH juga cuba menyelamatkan projek LCS itu, malah sedia menyuntik dana tetapi kerajaan ketika itu dijatuhkan.
"Dalam 26 bulan ini sejak Langkah Sheraton, jawatan Menteri Pertahanan dipegang oleh UMNO, iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
"Kalau ikut logik Najib (bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak), kapal LCS patut dibina lebih cepat selepas Februari 2020, namun satu kapal pun tak siap lagi.
"Amat pelik sekali, kenapa status pembinaan yang diumumkan semalam lebih rendah berbanding dengan Oktober 2020?" katanya.
Melalui kenyataan sama, Mohamad dan Chin Tong meminta Hishamuddin supaya tidak berselindung atau menyembunyikan kebenaran bahawa projek LCS adalah projek sakit, sekali gus memberi jalan penyelesaian kepada persoalan yang timbul.
"Adakah projek LCS dimulakan untuk membiayai hutang lapuk BNS? Siapa yang bertanggungjawab ke atas pertukaran sistem dari Sigma ke Gowind? Daripada RM6.08 bilion yang diberikan kepada BNS, berapa telah disonglap dan hilang tanpa jejak?
"Bila reka bentuk terperinci dijadualkan selesai pada November 2016 boleh dimuktamadkan? Apakah jumlah dana suntikan untuk memulihkan projek LCS dan adakah BNS memerlukan RM7 bilion lagi selepas RM6.08 bilion telah disuntik?
"Dan Apakah jadual terbaharu serahan kapal oleh BNS kepada TLDM?" kata mereka menyenaraikan rentetan persoalan yang timbul dalam projek LCS itu.
Mereka juga mendakwa, kelengkapan dan peralatan LCS berdasarkan reka bentuk terperinci adalah jauh lebih penting, berbanding menunjukkan kewujudan 'hull' atau badan kapal.
"Seperti pernah kami terangkan, kelengkapan dan peralatan kapal berdasarkan reka bentuk terperinci adalah jauh lebih penting daripada badan kapal. Reka bentuk belum siap lagi.
"Peralatan belum dapat dipasang lagi. Projek LCS tidak dapat diteruskan tanpa detailed design (reka bentuk terperinci) dan sebarang status siap kerja yang lain adalah tidak bermakna," katanya.
Dakwa mereka lagi, tindakan Kementerian Pertahanan membawa wakil media ke Lumut, Perak adalah niat untuk meyakinkan rakyat bahawa kapal LCS memang wujud dan projek ini masih berlangsung.
"Menurut rakan-rakan dari pihak media, lawatan semalam seperti 'tikus baiki labu'. Media dibawa ke 'hull' (badan kapal) LCS 1. Badan kapal LCS 2 hanya boleh dilihat dari jauh. Kapal-kapal yang lain tidak kelihatan.
"Hishammuddin cuba membuktikan bahawa kapal dan badan kapal memang wujud. Kenapa bawa media tengok badan kapal (yang sama sejak 2017)? Kan Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman kata, badan kapal boleh dinampak dari jauh dalam perjalanan ke Pulau Pangkor," katanya.
Sumber | BH Online
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment