Terbuka Malaysia yang dinaik taraf kepada Super 1000 bermula tahun depan dijadualkan berlangsung pada 10-15 Jan 2023 dan 9-14 Jan 2024. - BWF |
KUALA LUMPUR: Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia bakal menjadi pembuka tirai kejohanan dalam siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk tempoh dua tahun akan datang, menurut badan induk dunia itu.
Terbuka Malaysia yang dinaik taraf kepada Super 1000 bermula tahun depan adalah kejohanan peringkat teratas jelajah itu dengan menawarkan hadiah wang lebih besar serta mata ranking dunia, dijadualkan berlangsung pada 10-15 Jan 2023 dan 9-14 Jan 2024.
Kesemua 31 kejohanan Jelajah Dunia kemudiannya diteruskan dengan Terbuka India, Masters Indonesia dan Thailand, diikuti kejohanan benua pada minggu tujuh (Februari) sebelum berpindah ke Eropah dengan Terbuka Jerman.
Masters Malaysia pula dijadualkan pada 23-28 Mei 2023 dan 21-26 Mei 2024.
BWF juga mengesahkan China selaku tuan rumah Piala Sudirman 2023 berlangsung pada 14 hingga 21 Mei di Suzhou, menjadi kejohanan pertama menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik dengan tempoh bermula 1 Mei 2023 hingga 28 April 2024.
Copenhagen bakal menjadi tuan rumah Kejohanan Dunia pada 20 hingga 27 Ogos, manakala China pula selaku penganjur Piala Thomas dan Uber 2024 pada 28 April hingga 5 Mei, namun bandar berlangsungnya kejohanan itu akan diumumkan kelak.
Setiausaha Agung BWF Thomas Lund berkata komuniti badminton kembali seperti sedia kala dalam beberapa tahun mendatang selepas dunia sukan global banyak terjejas akibat pandemik COVID-19 sejak awal 2020.
"Selepas pandemik COVID-19, kita kini boleh menyusun kalendar kejohanan dari minggu ke minggu. Kita juga merasakan tidak perlu lagi penganjuran kejohanan secara kelompok seperti yang diperkenalkan sebelum ini untuk mengekang penularan COVID-19.
"Ini akan membantu mengurangkan tekanan dihadapi pemain dan pasukan, memberikan mereka lebih kebebasan untuk memilih kejohanan utama dalam usaha mengutip mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, pemain remaja Malaysia meraih dua kejuaraan di kejohanan Siri Antarabangsa Remaja India Bawah 19 (B-19) 2022 di Kotak Pullela Gopichand Badminton Academy di Hyderabad, semalam.
Pilihan utama Justin Hoh meraih gelaran juara perseorangan lelaki selepas mengecewakan wakil tuan rumah Pranay Shettigar 21-18, 21-14 manakala gandingan Ong Xin Yee-Carmen Ting mengungguli beregu wanita selepas mengalahkan pasangan India, Radhika Sharma-Tanvi Sharma 21-16, 21-15.
-- BERNAMA
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment