SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (Amanah) akan membuat laporan polis di seluruh negara terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin.
Biro Mobilisasi Amanah menerusi hantaran di Facebook pada Ahad berkata, laporan itu akan dibuat kerana Ahmad Zahid didakwa menghina dan memfitnah institusi kehakiman negara, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Yang di-Pertuan Agong.
Dakwanya, perbuatan itu dilakukan ketika bekas Timbalan Perdana Menteri berkenaan berucap semasa Taklimat Khas Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.
"Merujuk ucapan penuh Presiden UMNO pada Taklimat Khas Presiden UMNO, beliau telah menghina dan memfitnah institusi kehakiman, Jabatan Peguam Negara, SPRM dan Yang di-Pertuan Agong.
"Oleh itu satu laporan polis berhubung isu ini akan dibuat pada jam 11 pagi secara serentak di seluruh negara," jelasnya.
Dalam Taklimat Khas Presiden UMNO pada Sabtu, dilaporkan bekas peguam yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd mengkritik institusi mahkamah.
Selain itu, ucapan-ucapan pemimpin UMNO antaranya Ahmad Zahid; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said turut menyentuh berkaitan kes Najib itu.
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment