NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pengasas kelab komedi ditahan kerana 2 klip video

Jurucakap Gabungan NGO Islam Pulau Pinang (GNIPP), Ahmad Yakqub Nazri (dua dari kanan) dan wakil NGO menunjukkan paparan laman Instagram pengasas bersama Kelab Komedi Crackhouse dan salinan laporan polis di Balai Polis Bayan Baru, Pulau Pinang. - Foto NSTP/Aminah Yusof

KUALA LUMPUR: Bukit Aman mengesahkan menahan seorang lelaki berusia 39 tahun bagi membantu siasatan mengenai penularan dua klip video di sebuah kelab komedi di sini, yang menyentuh sensitiviti dan berbaur perkauman, hari ini.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata tangkapan dilakukan anggota Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di sebuah lokasi di Lembah Klang.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

"Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok bagi melengkapkan proses siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk arahan selanjutnya selepas siasatan daripada segala sudut selesai dijalankan. 

"Siasatan masih dijalankan dan polis menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan kenyataan yang boleh mengganggu siasatan," katanya.

Terdahulu, BH melaporkan polis menahan pengasas bersama Kelab Komedi Crackhouse berhubung insiden seorang wanita menghina agama Islam dalam satu persembahan komediri di kelab itu, baru-baru ini, tengah hari tadi. 

Suspek ditahan kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi di sebuah lokasi di ibu negara dan ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini. 

Penahanan lelaki itu dilakukan susulan beberapa laporan polis yang dibuat terhadapnya. 

Antaranya, laporan dibuat Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Islam Pulau Pinang (GNIPP) semalam, meminta pihak berkuasa menyiasat sama ada wujud unsur penyebaran dakyah liberalisme di kelab itu selama ini.

Laporan polis turut dibuat Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (PPSM) bersama lebih 50 badan bukan kerajaan (NGO) terhadap lelaki terbabit dan kelab komedinya atas dakwaan menghina agama Islam dan orang Melayu dalam persembahannya.


Sumber | BH Online




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo