Desas-desus Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz bakal bertanding parlimen Kuala Selangor terus bertiup kencang ekoran kerancakan program Kementerian Kewangan kebelakangan ini di kawasan terbabit.
Bagaimanapun, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Jamal Md Yunos berkata untuk mengesahkan bahawa Tengku Zafrul akan diangkat sebagai calon di kawasan parlimen itu pada PRU15 akan datang masih menjadi tanda tanya.
Jamal berkata segala ketetapan mengenai calon pilihan raya hanya akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.
"Saya mengalu-alukan hasrat Tengku Zafrul untuk datang dan berikan fokus kepada Kuala Selangor dan umumnya di seluruh negeri Selangor. Tetapi, untuk mengatakan yang Tengku Zafrul akan bertanding di Kuala Selangor itu, saya rasa jauh lagi.
"Cumanya, saya rasa kalau beliau (Zafrul) boleh menangkan (BN di Kuala Selangor) dan diterima oleh masyarakat serta pengundi di Kuala Selangor, kenapa tidak? soal Jamal.
"Tetapi saya tak mahu mendahuli presiden parti dan ini hanya pandangan peribadi saya," kata Jamal kepada Malaysiakini.
Jamal mengulas spekulasi Zafrul untuk bertanding di Parlimen Kuala Selangor pada PRU akan datang selepas mengumumkan kawasan terbabit sebagai “daerah angkat” Kementerian Kewangan.
Zafrul yang juga seorang senator dikatakan sedang mengintai kerusi Parlimen Kuala Selangor dan kini lebih kerap menghadiri aktiviti di situ.
“Saya secara peribadi sememangnya sedikit sentimental dengan daerah Kuala Selangor ini. Memang banyak potensi tempatan yang boleh dikembangkan dan diketengahkan,” kata Zafrul seperti dipetik Bernama.
Pengumuman itu turut mendapat kritikan setiausaha agung DAP Anthony Loke.
Bekas menteri pengangkutan itu mendakwa penggunaan istilah “daerah angkat” oleh menteri kewangan itu menyalahgunakan kedudukan Zafrul di MOF.
Mengulas lanjut, Jamal berkata meskipun belum dicalonkan sebagai calon kerusi Parlimen Kuala Selangor, namun Zafrul telah menunjukkan kesungguhannya untuk berbakti sekali gus menawan hati pengundi di kawasan terbabit.
Asam garam politik
"Seperti yang saya katakan tadi, soal dia nak bertanding di Kuala Selangor, soal dia mahu jadi calon di Kuala Selangor atau di mana-mana bahagian di Selangor ini, itu masih lagi jauh.
"Tetapi sekarang ini pun telah memperlihatkan kesungguhan Tengku Zafrul, bukan saja di Kuala Selangor tetapi ingin membantu Selangor... maklumlah Tengku Zafrul ini dia masuk ke dalam kabinet sebagai seorang senator dan tiada tempat (kerusi)," katanya.
Jamal juga mengulas mengenai dakwaan Umno Bahagian Kuala Selangor menolak Zafrul sebagai calon pilihan raya, Jamal berkata ia asam garam berpolitik.
Katanya, tuduhan Zafrul mengganggu jentera Umno Kuala Selangor apabila cuba menonjolkan dirinya di kawasan parlimen tersebut hanyalah pandangan peribadi sesetengah pihak saja.
"Itu mungkin pandangan peribadi sesetengah pihak dan sebagai ahli politik kita tak akan dapat 100 peratus sokongan. Tetapi dalam menghadapi pilihan raya saya yakin dan percaya jika beliau dapat buktikan yang dia seorang calon dan tokoh yang boleh memenangi kerusi Kuala Selangor, saya yakin dan percaya pucuk pimpinan parti akan berbesar hati untuk memberi laluan kepada beliau.
"Tetapi apa yang saya perhatikan kehadiran Tengku Zafrul tak mengganggu pun urusan urus tadbir bahagian Kuala Selangor.
"Beliau mengadakan program bagi menarik golongan muda dan saya dapat lihat sendiri sambutan dari anak muda setempat, saya melihat sambutan yang luar biasa oleh penduduk setempat dan masyarakat di sana dan saya juga melihat kehadiran kepimpinan Umno.
"Jadi, saya harap kehadiran menteri-menteri ke kawasan Umno bahagian di Selangor ini janganlah dianggap mengganggu persediaan jentera parti.
"Kerana kedatangan mereka ini membawa manfaat dan kebaikan kepada masyarakat setempat.
"Jangan dianggap sebagai pengacau, kecualilah yang datang itu, tak ada apa pun, yang mantan-mantan datang itu mengacau," kata Jamal tanpa merujuk mana-mana pihak, namun dipercayai merujuk kepada bekas menteri besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo.
Pada 29 Mei lalu, Khir menyatakan hasrat bertanding di kawasan Parlimen Sungai Besar, selain mahu mengembalikan semula kerusi berkenaan kepada Umno dan BN.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang itu memaklumkan dia yakin dengan penerimaan dan sokongan kuat masyarakat tempatan terhadapnya.
Mengulas lanjut perkara itu, Jamal yang juga ahli jawatankuasa perhubungan negeri berkata kedatangan Zafrul ke negeri itu sekali pun berhasrat untuk menjadi calon jelas berbeza dengan mereka yang lain, yang disifatkan hanya mahu merebut jawatan dalam parti sahaja.
"Tengku Zafrul ini berjawatan sebagai menteri dan bila berjawatan ini kita pun tahu semua menteri dia ada peruntukan politik dan bolehlah disalurkan kepada mana-mana tempat yang dia pergi untuk dimanafaatkan.
"Tapi, ia berbeza dengan mantan-mantan yang pernah berkedudukan, jawatan menteri, timbalan menteri dan menteri besar sebagai contoh datang ke bahagian.
"Kalau ikhlas untuk bantu bahagian tak apa, tetapi kalau kedatangan beliau ini ingin merebut jawatan, sebagai contoh jawatan ketua bahagian dan sebagainya sudah pasti akan menimbulkan kumpulan yang berpuak-puak di dalam bahagian.
"Jadi, ada kumpulan yang tidak puas hati dengan ketua bahagian akan pergi kepada beliau tetapi macam Tengku Zafrul ini kedatangannya bukan untuk merebut jawatan dalam parti tetapi hanya untuk bantu masyarakat dan kemudian kalau dia boleh diterima masyarakat dan pengundi dan difikirkan boleh menang di kawasan tersebut ini adalah budi bicara pucuk pimpinan parti tiada masalah dan bukan setakat Kuala Selangor," katanya.
"Saya rasa Umno Kuala Selangor dan juga rakyatnya patut bersyukur dan berterima kasih di atas hasrat Tengku Zafrul tersebut," kata Jamal lagi.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment