NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tiada masalah Rumah Bonda saman JKM - Rina

Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, Rumah Bonda juga tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang menjadi asas kukuh meneruskan sitaan. - Gambar fail/BERNAMA

JOHOR BAHRU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyita dan menghentikan operasi Rumah Bonda kerana jelas rumah kebajikan itu tidak pernah berdaftar dengan mana-mana agensi kerajaan sejak mula beroperasi.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, Rumah Bonda juga tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang menjadi asas kukuh meneruskan sitaan.
"Kita tidak mempunyai masalah dengan tindakan saman pengasasnya. Kita sudah memberi peringatan. Tidak mengapa... kita akan ikut proses ini (tindakan mahkamah) kerana itu hak dia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas mengadakan Tinjauan Operasi Ke Rumah Kanak-Kanak Mini Ulu Tiram, di sini pada Sabtu.
Pada Jumaat, Rumah Bonda memfailkan saman terhadap Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKM WPKL) bagi memohon perintah supaya rumah perlindungan itu dibuka semula.
Saman pemula itu difailkan Rumah Bonda melalui Pengerusinya, Siti Bainun Ahd Razali selaku plaintif, melalui Tetuan Asiah Abd Jalil Law Chambers di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Rina berkata, apabila melakukan sitaan JKM sebenarnya memberikan rumah kebajikan tersebut peluang untuk kemukakan pendaftaran dan perkara berkaitan lain.
Beliau berkata, peluang itu diberikan untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan penghuni terjamin kerana pendaftaran rumah kebajikan perlu mematuhi syarat-syarat dan terma yang ditetapkan kerajaan.
Dalam perkembangan lain, Rina mendedahkan JKM telah mengenal pasti sebanyak 1,028 pusat jagaan di seluruh negara yang tidak berdaftar dengan agensi berkenaan menerusi satu operasi pemutihan yang dijalankan pada Februari dan Mac tahun ini.
Bermula Januari tahun ini kata beliau, kementerian telah mengeluarkan arahan untuk dilakukan pemutihan terhadap premis jagaan di negara ini dan dalam tempoh Februari hingga Mac, 1,028 pusat jagaan didapati tidak berdaftar manakala 1,910 pula berdaftar.
"Daripada jumlah berkenaan (1,028), 38 daripadanya telah diperakukan pendaftarannya, 57 telah menghentikan terus operasi, lapan disita, 35 dikenakan kompaun manakala satu telah didakwa.
"Ini adalah pusat jagaan yang bukan dikendalikan JKM sendiri sebaliknya premis yang dioperasikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun secara swasta," ujarnya.
Pada sidang akhbar sama, Rina turut memaklumkan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terutama Srikandi tidak terjejas dengan keputusan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamarudin yang menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pihaknya Srikandi sudah bersedia kerana mengetahui lebih awal sebelum Zuraida mengumumkannya secara rasmi.
"Ini tidak merisaukan kita kerana Bersatu dan Srikandi mempunyai ramai calon pelapis kepimpinan yang layak untuk diketengahkan.
"Tindakan Zuraida tidak menjejaskan sebarang urusan pentadbiran dan itu perkara biasa dalam politik," katanya ketika sidang akhbar selepas mengadakan Tinjauan Operasi Ke Rumah Kanak-Kanak Mini Ulu Tiram, di sini pada Sabtu.
Pada 26 Mei lalu, Zuraida mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar Bersatu untuk menyertai PBM.
Menurut Zuraida, keputusan itu dibuat selepas pertimbangan mendalam selain amat tertarik dengan enam prinsip teras PBM.
Mengulas lanjut, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, tindakan Zuraida meninggalkan Bersatu hanya diikuti sekumpulan kecil ahli lain.
"Jumlahnya tidak besar tetapi ada beberapa ahli yang kita tahu," katanya.

Sumber | Astro Awani






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo