NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Khir Toyo akui PH tak akan tumbang tanpa undi Cina, India ke BN


Umno Selangor perlu membantu mengukuhkan parti-parti komponen dalam BN untuk meraih semula sokongan undi di Selangor pada pilihan raya umum yang akan datang, kata bekas menteri besar Dr Mohamad Khir Toyo.

Mengakui Pakatan Harapan (PH) masih kuat di negeri itu, Khir berkata BN Selangor perlu kerja lebih keras untuk menarik semula sokongan bukan sahaja di kalangan orang Melayu tetapi juga daripada pengundi bukan Melayu.

Ini katanya, kerana impian BN untuk menawan semula Selangor sukar dicapai tanpa penambahan sokongan pengundi bukan Melayu.

“Di Selangor ni kita lihat Pakatan Harapan masih bertapak kuat. Kita tak dapat nafikan.

“Sebab itulah BN Selangor kena kerja lebih kuat untuk menarik balik bukan saja undi orang Melayu tetapi juga undi orang bukan Melayu kerana tanpa sokongan orang bukan Melayu, Selangor takkan dapat (semula) kepada kepaa Barisan Nasional.

“Ramuan yang paling baik, kita kena kuatkan BN di Selangor dengan cara menggerakkan parti-parti komponen.

“Kalau hari ni Umno berasa selesa di kalangan pengundi Melayu, tetapi pengundi Cina, India masih tidak bersama dengan BN.

“Jadi Umno kena bantu MCA dan MIC untuk bergerak ke bawah, menyelusup ke dalam kalangan masyarakat kaum Cina dan kaum India - adakan lebih banyak public engagement dengan mereka dan saya rasa ini dapat menarik sedikit sebanyak persepsi yang berbeza kepada orang Cina dan orang India terhadap BN,” katanya ketika temubual bersama Malaysiakini semalam.

Pada PRU14, BN Selangor hanya meraih dua kerusi parlimen (Sabak Bernam dan Tanjong Karang) di samping empat kerusi DUN (Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Hulu Bernam dan Sungai Burong).

Ketika ditanya mengenai punca utama yang membuatkan Umno Selangor gagal mengalahkan PH sejak 2008, Khir yang merupakan menteri besar dari 2000 hingga 2008 berkata kesilapan parti itu adalah mementingkan kekuatan Umno di kawasan Melayu dan menidakkan kehadiran MCA dan MIC.

Silap pentingkan kawasan Melayu

“Mungkin orang Umno akan marah dengan saya kerana sikap saya yang suka mengatakan perkara yang benar.

“Kesilapan kita (Umno) pada dua pilihan raya yang lepas (PRU13 dan PRU14), sama dengan saya lakukan dulu (pada PRU12), kita mementingkan kekuatan Umno di kawasan orang Melayu dan kita cuba menidakkan kehadiran MCA dan MIC.

“Sikap ini masih lagi ada… sebab itu kita kena kuatkan BN,” katanya.

Khir menggantikan menteri besar Selangor Abu Hassan Omar mulai 18 Ogos 2000 sehingga 13 Mac 2008, apabila BN negeri pimpinannya tewas kepada Pakatan Rakyat.

Sejak itu, Khir menjadi ketua pembangkang DUN Selangor sebelum meletak jawatan akibat dakwaan rasuah pada Disember 2010.

Dia menjalani hukuman penjara 12 bulan atas kesalahan rasuah oleh Mahkamah Persekutuan pada September 2015.

Khir dibebaskan pada Mei 2016 selepas menghabiskan perintah parol bermula Mac 2016 setelah menjalani hukuman penjara selama enam bulan.

Gambar fail.

Dalam pada itu, Khir mengakui dia turut melakukan kesilapan sewaktu pentadbirannya, sehingga BN kecundang di tangan parti pembangkang ketika itu.

“Jadi isunya bagaimana kita nak memastikan rakyat Selangor yakin bahawa BN ni mewakili semua kaum,” katanya.

Untuk rekod, Khir pernah mengundang kontroversi pada 2007 sehingga dikecam apabila menyampaikan sebatang penyapu kepada Majlis Daerah Hulu Selangor dan Pejabat Tanah Hulu Selangor kerana gagal mengutip cukai taksiran melepasi sasaran 50 peratus seperti yang telah ditetapkan bagi 2006.

Susulan kejadian itu, Khir dikritik pelbagai pihak termasuk Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kerana tindakan itu dilihat mengaibkan penjawat awam.

Menceritakan pengalamannya ketika berdepan PRU12 pada 2008, Khir berkata dia diarahkan oleh pimpinan ketika itu supaya hanya menjaga Umno.

“Soal MCA, MIC tu terletak kepada presiden masing-masing dan mendapat arahan sebagai pemimpin bawahan, saya ikutlah,” katanya.

Khir menjadi menteri besar pada usianya 35 tahun ketika menjadi Adun Sungai Panjang pertama kali dalam pilihan raya umum 1999.

Pada 2008, BN Selangor tumbang dengan hanya menang 20 kerusi DUN daripada 56 kerusi, manakala Pakatan Rakyat yang ketika itu terdiri daripada PKR, DAP dan PAS meraih 36 kerusi.

Mengulas lanjut, bekas Adun Sungai Panjang itu berkata aliran pengundian di Selangor agak berbeza dengan negeri-negeri lain,.

Jelasnya, ia dipengaruhi oleh peratusan antara pengundi Melayu dan bukan Melayu yang agak seimbang, tahap pendidikan yang tinggi dan kesedaran politik yang lebih matang.

“Maka di Malaysia ni… kalau nak berlaku transition of politic, akan berlaku di Selangor dulu,” katanya.

Untuk rekod, DUN Sungai Panjang terletak dalam Parlimen Sungai Besar, berserta DUN Sekinchan. Pada PRU14 lalu, Parlimen Sungai Besar dimenangi calon gabungan PH ketika itu dari Bersatu, Muslimin Yahaya.

Ini sebelum Bersatu keluar PH untuk menyertai PN membentuk kerajaan baru dalam Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Calon Umno, Mohd Imran Tamrin menang DUN Sungai Panjang manakala DUN Sekinchan diwakili Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim.

Tonjolkan pemimpin, jangan tanam dalam tanah

Menurut Khir lagi, BN perlu berusaha menonjolkan kepimpinan mereka sama ada daripada parti umno, MCA mahupun MIC di Selangor.

“Saya maksudkan bukan ketandusan pemimpin… sebenarnya tidak ada pemimpin yang ditonjolkan.

“Kalaulah Tan Sri Noh Omar kata ramai pemimpin Selangor diketengahkan, ada MT muda, saya rasa kita kena ada usaha tonjolkan mereka supaya mereka dapat buat engagement dengan public.

“Ini yang tak adil saya rasa… kenapa tidak ditonjolkan,” katanya ketika ditanya mengenai pemimpin di kalangan BN yang sesuai untuk menyandang jawatan menteri besar, jika diberikan peluang.”

Jelasnya lagi, mereka sewajarnya didedahkan kepada orang ramai dengan menyentuh isu-isu berkaitan negeri yang sering menjadi topik perbualan dan masih tiada penyelesaian seperti isu bekalan air, banjir sewaktu tiba musim tengkujuh, peluang pekerjaan dan perumahan mampu milik.

“Kalau (Ketua Umno Selangor) Tan Sri Noh Omar nak jadi menteri besar, dia kena tonjolkan diri dia.

“Bagaimana nak tonjolkan pemimpin kita ni di peringkat negeri? Ini persoalannya.

"Mudah saja. Pemimpin ni kena bercakap soal state issue. So many state issues in Selangor yang tak diselesaikan berbanding isu-isu kerajaan persekutuan,” katanya.

“Kalau kita ada pemimpin, kita kena tonjolkan. Jangan kita ada pemimpin, kita tanam dalam tanah, simpan dalam bilik.

“Kita kena bawa mereka, tonjolkan. We need to organise a public engagement. Let them talk, let them show their capability,” katanya.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo