NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bukit Bendera tapak rizab biosfera ketiga negara terima pengiktirafan UNESCO

Chow Kon Yeow (tengah) sewaktu Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan Rizab Biosfera Bukit Bendera di George Town pada Sabtu. - Astro AWANI

GEORGE TOWN: Bukit Bendera menjadi tapak rizab biosfera ketiga negara selepas menerima pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju berkata, dengan pengiktirafan tersebut nama Pulau Pinang akan terus harum di mata dunia sebagai destinasi ekopelancongan selain dapat meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.

Ali Biju berkata, bagi melaksanakan projek dokumentasi Tapak Rizab Biosfera Bukit Bendera pihak KeTSA telah meluluskan peruntukan sebanyak RM192,810 kepada Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP).

Selain itu pihaknya juga memberi sokongan dan kerjasama kepada kerajaan negeri yang ingin mencalonkan kawasan negeri masing-masing sebagai tapak biodiversiti antarabangsa.

"Kami dari KeTSA memang mengalu-alukan mana-mana negeri yang ingin menubuhkan biosfera rizab ini, dan kita percaya bahawa biorizab ini akan mengharumkan Pulau Pinang di mata dunia sekali gus boleh membawa ramai pelancong dan meningkatkan ekonomi masyarakat setempat," ujar Ali.
Dalam pada itu, Ali berkata, selain Bukit Bendera, terdapat satu lagi lokasi berpotensi sebagai tapak rizab biosfera iaitu Sarawak Delta.
"Memang ada di Sarawak sekarang sedang dibangunkan satu kawasan biosfera rizab iaitu Sarawak Delta dan kita memang mengalu-alukan (inisiatif) ini. Ia akan mengangkat nama Malaysia sebagai negara yang memelihara biodiversiti yang kita tujukan kepada anak-anak kita," ujar beliau.
Sebelum ini, dua lokasi yang turut diiktiraf UNESCO di bawah program 'Man and the Biosphere' (MAB) ialah Tasik Chini, Pahang pada tahun 2009 dan Banjaran Crocker, Sabah (2014).
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan Rizab Biosfera Bukit Bendera di George Town pada Sabtu.
Hadir sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Pengurus Besar PBBPP, Datuk Cheok Lay Leng..
Sementara itu, Chow Kon Yeow berkata, dengan pengiktirafan Rizab Biosfera Bukit Bendera, kerajaan negeri akan terus meningkatkan usaha bagi menjadikan Bukit Bendera sebagai destinasi ekopelancongan pilihan serta menjadi tempat pembelajaran bertaraf dunia.
Beliau juga berharap Bukit Bendera akan mencapai matlamat MAB UNESCO.
Rizab biosfera Bukit Bendera berkeluasan 12,481 hektar adalah nadi hijau kepada Pulau Pinang dengan ia membabitkan kawasan sekitar Bukit Bendera termasuk Taman Botani Pulau Pinang, Taman Negara Pulau Pinang, enam hutan simpanan kekal serta dua empangan.
Rizab biosfera Bukit Bendera juga merangkumi tiga ekosistem utama iaitu kawasan berhutan, pantai dan marin.

Sumber | Astro Awani





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo