NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

BN menang atau kalah - Pengampunan tak mudah


ULASAN | Andaian popular adalah para pembesar Umno/BN daripada kluster mahkamah mahu supaya Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan lebih awal bagi mengelak masuk penjara dan mendapat pengampunan diraja.

Tetapi kalau diperincikan, ia tidaklah semudah itu. Pertama sekali belum tentu Umno/BN menang sehingga boleh membentuk kerajaan sendiri macam sebelum PRU2018 dan kembali bertindak sesuka hati.

Kedua, kemenangan dalam pilihan raya kecil serta pilihan raya negeri di Melaka dan Johor tidak menjamin Umno/BN boleh mengubah aliran kemerosotan yang dideritainya sejak PRU 2008.

Dan ketiga, tidaklah semudah itu untuk membatalkan siri perbicaraan ke atas para pembesar Umno/BN yang sedang berjalan sekarang dan memberi pengampunan diraja kepada mereka.

Risikonya amat besar. Umno mungkin hancur dan institusi-institusi terlibat akan ditentang secara terbuka oleh banyak pihak.

Selain kepemimpinan kerajaan, proses pengampunan akan melibatkan peguam negara, kehakiman, perdana menteri, Lembaga Pengampunan dan Yang di-Pertuan Agong.

Pengampunan Anwar Ibrahim pada tahun 2018 sering disebut sebagai duluan (precedent) bagi mengampunkan Najib Razak dan gengnya dalam kluster mahkamah.

Tapi mereka sengaja lupa yang Anwar telah menjalani hukuman penjara selama lebih tiga tahun mulai 2015.

Lagipun, kesalahan beliau tidaklah membebankan negara dan rakyat jelata dengan hutang berbilion-bilion ringgit seperti yang dilakukan oleh Mohd Najib dalam SRC International dan 1MDB.

Penyokong kluster mahkamah sengaja lupa atau tidak tahu bahawa Almarhum Harun Idris juga telah menjalani hukuman penjara dalam kes pecah amanah Bank Rakyat sebelum diberikan pengampunan.

Beliau dipenjarakan pada tahun 1977 dan dapat pengampunan hanya pada 1982. Itu pun bersama-sama 62 banduan lain bersempena ulang tahun ke-25 kemerdekaan negara.

Harun tidak ambil duit untuk dirinya sendiri tapi untuk pentaskan tinju Muhammad Ali-Joe Bugner di Kuala Lumpur pada tahun 1975.

Begitu juga dengan Almarhum Mokhtar Hashim yang membunuh musuh politiknya, Almarhum Mohamad Taha Talib pada tahun 1982.

Dia dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada tahun 1983 dan pada tahun berikutnya diberikan pengampunan kepada penjara seumur hidup.

Pada tahun 1991, dia diberikan pengampunan kedua dan dibebaskan setelah sembilan tahun dalam penjara. Dia menembak mati speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan itu sebelum PRU 1982.

Bukanlah semudah seperti digambarkan bagi Yang di-Pertuan Agong (atau Raja-raja Melayu yang lain serta Yang di-Pertua Negeri) memberi pengampunan.

Dinamik dalam Umno sendiri

Beban tanggungjawab dibawah undang-undang adalah sangat berat kerana ia adalah hak mutlak Baginda. Akhirnya Bagindalah yang memikul beban tanggungjawab dan risiko tindakan tersebut, bukan perdana menteri atau Lembaga Pengampunan. Mereka hanya memberi nasihat kepada Baginda.

Kalau kita masih ingat, hatta pengampunan Anwar itu pun pernah cuba dicabar atas isu prosedur dan sama ada ia "free pardon" (pengampunan tanpa syarat) atau "full pardon" (pengampunan penuh).

Menurut peguam Nimalan Devaraja yang menulis dalam skrine.com pada 2018, Perlembagaan Persekutuan merujuk kepada “free pardon”dalam beberapa peruntukan tetapi tidak pernah menggunakan terma “full pardon”.

Kesimpulannya, pengampunan bagi Najib dan gengnya (sekiranya nanti didapati bersalah oleh semua peringkat mahkamah) bukanlah sesuatu yang automatik atau telah terpahat di atas batu, tidak kiralah sama ada Umno/BN menang atau kalah.

Lagipun menurut Devaraja yang memetik Perlembagaan Persekutuan, permohonan pengampunan pengampunan hanya boleh dibuat setelah seseorang banduan menjalani hukuman empat, lapan, 12 dan 16 tahun daripada tempoh dipenjarakan dan setiap tahun selepas itu.

Itu belum diambil kira dinamik politik negara dan Umno sendiri. Dalam Umno pun bukan semua mahu kluster mahkamah dibebaskan atau diampunkan.

Sudah pun nampak ada kelompok yang lebih suka jika sesetengah atau semua anggota kluster mahkamah dipenjarakan sebagai salah satu cara membersih dan menyembuhkan semula parti itu.


A KADIR JASIN ialah tokoh wartawan yang pernah bergiat dalam politik melalui Bersatu ketika bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad masih bersama parti itu.


Sumber | MalaysiaKini






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo