Muhyiddin menafikan Azmin dan Rashid akan mengikut jejak Zuraida meninggalkan Bersatu. - Gambar fail |
PUTRAJAYA: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan desas-desus Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Rashid Hasnon akan meninggalkan parti mengikuti jejak Datuk Zuraida Kamaruddin.
Menurut Muhyiddin, dakwaan dua Ahli Parlimen dari parti berkenaan akan meninggalkan Bersatu adalah tidak benar.
Bahkan, tegas bekas Perdana Menteri itu, beliau dan dan Mohamed Azmin sering berbincang mengenai masa depan Bersatu.
Sementara Rashid pula, jelas Muhyiddin, tidak pula memaklumkan hasratnya meninggalkan Bersatu ketika bertemu dalam sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
Kata Muhyiddin, dakwaan Timbalan Speaker Dewan Rakyat akan mengikut jejak langkah Zuraida juga tidak berasas dan memperlihatkan ada pihak yang takut dengan Bersatu.
"Kenapa tak kata semua keluar (Bersatu)? Lagi besar berita… setahu saya tidak betul (Azmin, Rashid keluar Bersatu) saya rapat dengan Azmin. Dia adalah menteri yang datang daripada Bersatu dan kita kerap berbincang bukan saja soal masuk keluar, soal masa depan.
"Datuk Rashid saya ada jumpa ketika sambutan hari raya, tidak ada cerita pasal nak keluar parti, cuma cerita makan ketupat sahaja.
"Jadi pada saya desas desus ini tidak benar, kenapalah nak beri tumpuan kepada Bersatu, apa nak bimbang sangat dengan Bersatu? Parti kecil sahaja… jadi kalau tidak ada cerita itu lagi baik,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat keenam Majlis Pemulihan Negara (MPN), di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Muhyiddin berkata demikian sebagai mengulas laporan bahawa Azmin dan Rashid dijangka melompat parti dan dikatakan akan mengikut jejak Zuraida menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Ditanya status penganti Zuraida sebagai menteri dari Bersatu, Muhyiddin berkata, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, akan mengadakan pertemuan dengannya selepas bertemu dengan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu.
“Saya beritahu bahawa pendirian kita bahawa Zuraida dahulu duduk (sebagai menteri) atas kapasiti sebagai ahli Bersatu dan memang semenjak dulu kuota itu adalah kuota Bersatu.
"Tetapi keputusan melantik siapa itu hak perdana menteri dan kita akan calonkan nama yang dianggap sesuai untuk menggantikan Zuraida,” katanya lagi.
Sumber | Astro Awani
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment