MARANG: Umat Islam di negara ini termasuk di seluruh dunia boleh menjadi lemah kerana tidak beramal dan mengikut petunjuk al-Quran.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Al-Quran menjadi petunjuk kepada keseluruh kehidupan manusia, kepada yang betul dan selamat hidup di dunia dan akhirat serta mengetahui perkara yang salah dan sesat, supaya ditinggalkan kerana menyebabkan binasa di dunia dan neraka di hari akhirat.
Kata beliau, berjaya atau tidaknya puasa yang diamal dalam masa sebulan, apabila berjaya membuktikan sifat takwa dalam diri penganutnya.
“Rasulullah SAW telah berjaya menunjukkan cara beramal dengan al-Quran dengan sempurna, sehingga berjaya mengubah perangai bangsa Arab, yang sangat buruk dan jahat, sehingga tenggelam dalam maksiat dan dosa.
“Menyatukan bangsa Arab yang berpecah sehingga berperang dan bunuh-membunuh sesama mereka. Apabila mereka beramal dengan al-Quran, mengikut petunjuk ajaran dari Rasulullah SAW, tiba-tiba mereka berubah menjadi bangsa yang baik perangainya.
“Bersatu padu dengan penuh kasih sayang bersama rahmat Allah daripada petunjuk al-Quran, bersama al-Quran adanya perpaduan ummah.
“Umat Islam bangsa Arab, yang beramal dengan petunjuk al-Quran yang diajar oleh Rasulullah SAW, telah berjaya menarik pelbagai bangsa lain di seluruh pelosok dunia masuk Islam dan menjadi umat Islam yang memimpin negara,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Perlimen Marang berkata demikian ketika menyampaikan khutbah solat sunat Aidilfitri di Masjid Rusila, hari ini.
Menurutnya, Islam memerintah dengan adil kepada seluruh manusia dan orang bukan Islam lebih rela menjadi rakyat di bawah kerajaan Islam.
“Adil kepada semua juga adalah sifat orang yang bertakwa. Islam berjaya menyatupadukan manusia pelbagai agama dan kaum. Dalam negara yang besar dan luas wilayahnya, selama beberapa abad lebih 1,000 tahun,” jelasnya.
Bahkan, katanya rumpun Melayu di Asia Tenggara masuk Islam dan mendirikan kerajaan Islam selama beberapa ratus tahun.
“Sekarang jumlah umat Islam di sini (Asia Tenggara) lebih dari 300 juta, menjadi antara umat Islam paling ramai dalam dunia.
“Mengapa tiba-tiba umat Islam menjadi lemah di zaman kita ini. Marilah kita menyelidik diri kita sendiri. Sebelum kita dihadapkan di hadapan Allah di hari kiamat.
“Walaupun ramai yang boleh membaca al-Quran dengan tajwid yang betul. Bahkan, ramai yang menghafal dan banyaknya sekolah-sekolah tahfiz.
“Marilah kita sedar dan insaf bahawa banyak petunjuk al-Quran itu tidak diamal dan diikut, hanya sekadar membacanya sahaja. Bahkan, umat Islam tidak ada kuasa politik setelah mereka dijajah oleh musuh-musuh Islam,” tegasnya.
Menurut Tuan Guru Abdul Hadi lagi, Rasulullah SAW berjihad, berjuang bersungguh-sungguh bagi mendapat kuasa politik, supaya dengan kuasa dapat menjadikan al-Quran petunjuk kepada seluruh kehidupan manusia.
Kemudian, katanya tugas itu disambung oleh para sahabat dan mereka yang setia beriman menjadi umat Islam yang bersatu, berpegang dengan al-Quran dan tunjuk ajar Rasulullah SAW.
Selepas selesai solat itu, diadakan rumah terbuka di Dewan Tok Guru di pekarangan Masjid Rusila, bagi meraikan orang ramai dan rakyat umumnya menyambut hari raya. – HARAKAHDAILY 2/5/2022
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment