NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sabah perlu terus stabil, kondusif, GRS komited bela hak rakyat

KENANGAN: Hajiji (tiga kanan) merakamkan gambar kenangan bersama para pemimpin utama dalam GRS.

KOTA KINABALU: Sabah telah mengalami banyak kemajuan sejak Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dilancarkan walaupun kerajaan kini mewarisi trend kemerosotan ekonomi dan ditambah dengan cabaran pandemik COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan hari ini berjaya bangkit melalui pelan Hala Tuju SMJ.

"Sebagai contoh Hala Tuju ini mensasarkan peningkatan hasil negeri dengan pelaksanaan pelbagai strategi.

"Sebagaimana yang dilaporkan, kita telah berjaya melakar sejarah baharu dengan jumlah kutipan hasil tertinggi negeri. Pertama kali sejak merdeka kita berjaya menembusi angka RM 5 bilion dengan jumlah keseluruhan kutipan bagi tahun 2021 ialah RM 5.449 bilion. 

"Peningkatan hasil negeri bermakna lebih banyak peruntukan boleh disalurkan untuk kesejahteraan rakyat. Demi rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus memacu pelaksanaan pelan ini untuk mencapai matlamat membina bukan sahaja negeri yang maju, tetapi rakyatnya juga berkemajuan," katanya ketika merasmikan Pelancaran GRS di sini, hari ini.

Beliau berkata, kejayaan segala usaha yang dilakarkan menuntut sokongan dan dokongan semua pihak.

Katanya, Sabah memerlukan persekitaran yang stabil dan kondusif untuk mencapai kemajuan. 

"Dalam menggerakkan teras perjuangan mengutamakan Sabah, membawa Sabah melangkah ke hadapan dan membina Sabah yang maju jaya memerlukan kewujudan kesatuan rakyat Sabah. 

"Atas sebab itu, perjuangan Sabah First, Sabah Forward dan Sabah Prosper harus bergerak seiring bersama perjuangan Sabah United iaitu mewujudkan Sabah yang bersatu sebagai teras yang keempat," katanya.

Dalam pada itu katanya, GRS akan terus perjuangkan bukan sekadar pelaksanaan keseluruhan hak, kepentingan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, malah hak serta kepentingan yang hadir dan terjamin bersama Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurutnya, GRS berpendirian semangat dan prinsip MA63 itu sentiasa hidup dan relevan sehingga hari ini dan masa depan.

"Alhamdulillah, banyak kemajuan yang telah dicapai dan kita yakin pendekatan Keluarga Malaysia berupaya menangani isu-isu legasi yang melingkari hubungan negeri dan persekutuan.

"Teras perjuangan Sabah Forward adalah penting untuk membentuk pemikiran, menghalakan perspektif dan memimpin tindakan kita secara strategik serta berfokus dalam membawa Sabah melangkah ke hadapan, membina masa depan negeri.

"Perjuangan ini adalah satu perjalanan panjang yang kita warisi daripada barisan pelopor pejuang terdahulu. 

"Kita berdiri diatas amanah dan pertanggungjawaban itu. Kita harus memastikan setiap langkah yang diatur memacu kita ke hadapan menuju destnasi kemajuan dan kemakmuran," katanya.

Beliau berkata, dengan penubuhan GRS sebagai entiti politik rasmi, pelaksanaan Agenda Sayangi Sabah akan ditambah nilai melalui empat teras perjuangan GRS yang meliputi Sabah First iaitu Sabah Diutamakan, Sabah Forward atau Sabah Melangkah ke Hadapan, Sabah Prosper memaknai Sabah Maju Jaya dan Sabah United yakni Sabah yang Bersatu.



Sumber | Utusan Borneo






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo